Sistem politik negara patut beri ruang golonga muda

Diterbitkan: Ahad, 19 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sistem politik negara yang sedia ada sedikit sebanyak patut dipinda untuk memberi ruang kepada golongan muda menceburi bidang tersebut.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, berdasarkan pengalaman sepanjang beliau berinteraksi dengan golongan itu melalui laman web facebook, ramai anakanak muda yang meminati politik tetapi dalam cara yang berbeza.

"Ramai yang memberitahu saya mereka menyokong Barisan Nasional tetapi tidak mahu menjadi ahli mana-mana parti komponen kerana ramai yang berketurunan campuran.

"Ada yang bapanya Melayu maknya Cina, ada yang berketurunan Portugis dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertemuan "Facebook Town Hall" yang julung kali mengumpulkan ahliahli laman web facebook Saifuddin.

Beliau berkata, ramai di kalangan anak muda yang tidak mempunyai ketaatan pada mana-mana ideologi dan lebih suka mengikut pandangan mereka sendiri.

"Oleh sebab itu sistem politik kita yang lebih memihak pada pandangan parti, mungkin tidak sesuai dengan kehendak mereka," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sistem parti mengikut kaum seperti yang ada sekarang tidak perlu dimansuhkan kerana sistem itu sudah baik dan menjalankan peranan masing-masing.

"Cuma kita perlu lihat bagaimana kita boleh menerima kehendak dan pandangan orang muda ini," katanya.

Saifuddin berkata golongan muda mungkin agak segan untuk meluahkan pandangan mereka dalam pertemuan biasa kerana laras bahasa yang digunakan berbeza dengan golongan yang lebih tua.

"Melalui facebook, anak-anak muda bebas untuk melahirkan hasrat dan pandangan mereka sendiri dan tidak terkongkong dengan suasana atau sekatan organisasi," katanya.

Beliau kini mempunyai lebih 2,800 kawan di laman web facebook yang kebanyakkannya terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi sejak dibuka 1 April lalu.

Saifuddin turut melancarkan buku kelima beliau yang diterbitkan dalam bentuk 'ebook' bertajuk "Kalau Saya Mahasiswa" yang mengandungi pengamatan dan pengalamannya tentang apa yang boleh dilakukan untuk memperkasakan mahasiswa. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan