PKFZ: Tee Keat beri keterangan

Diterbitkan: Jumaat, 17 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat enggan mendedahkan nama mereka yang terlibat dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) ketika memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) semalam.

Timbalan Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw, memberitahu pemberita bahawa Ong tidak mendedahkan sebarang nama sekalipun diminta beberapa kali berbuat demikian oleh PAC. "Saya meminta beberapa kali dan beliau tidak mendedahkannya. Beliau (Ong) berkata memadai untuk kami (PAC) melihat pada laporan audit PriceWaterhouseCoopers (PwC)," Tan memberitahu pemberita selepas inkuiri PAC mengenai PKFZ di Parlimen di sini.

Sementara itu, Ong ketika ditemui berkata, beliau hanya menjawab soalan yang ternyata dalam laporan audit PwC.

"Saya telah menghadiri interbiu PAC dan banyak soalan telah saya jawab dan sikap saya ialah saya akan jawab dengan seboleh-boleh saya dengan fakta, dengan penemuan yang ternyata dalam PwC," katanya.

Mengulas laporan akhbar Cina semalam bahawa ada pihak cuba menyekat beliau daripada mendedahkan laporan itu, Ong berkata: "Sebenarnya, ini ditimbulkan oleh beberapa anggota PAC dan memangnya saya memberi jawapan setakat seperti mana yang saya lakukan dalam interbiu eksklusif." "Tetapi seperti saya katakan terdahulu, itu sekadar perasaan saya, rintihan saya, tapi saya juga dah jelaskan perasaan saya dalam interbiu itu, bukan menunding jari... cuma keluhan saya," katanya. Ditanya mengenai soalan yang ditujukan kepadanya semasa interbiu selama tiga jam, Ong berkata, itu semua isu asas, yang antara lain, menyentuh penyelewengan RM12.45 bilion dan pinjaman tambahan RM1.2 bilion untuk PKFZ.

PKFZ, hab pemindahan kargo yang dibina di kawasan 405 hektar di Pelabuhan Klang yang turut menempatkan gudang-gudang, blok pejabat dan hotel empat bintang mencetuskan kontroversi selepas didedahkan bahawa kos pembangunannya melambung dari RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan