Malaysia sokong saranan tarikh akhir tamatkan konflik Timur Tengah

Diterbitkan: Khamis, 16 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHARM ELSHEIKH (Mesir): Malaysia menyokong cadangan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) Javier Solana bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) perlu menetapkan tarikh akhir bagi menyelesaikan isu Palestin, sekaligus membawa kepada pembentukan sebuah negara Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata adalah menjadi harapan Malaysia bahawa cadangan itu dipertimbangkan dengan serius dan dilaksanakan Majlis Keselamatan PBB.

"Malaysia terus menyokong hak-hak rakyat Palestin untuk mempunyai sebuah negara merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara," kata Najib semasa berucap pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negaranegara Berkecuali (NAM) ke15 di sebuah resort di sini pada Rabu.

Sidang kemuncak itu dirasmikan oleh Presiden Mesir Hosni Mubarak yang mengambil alih jawatan pengerusi kumpulan 118 negara anggota itu daripada Presiden Cuba Raul Castro bagi tempoh tiga tahun.

Najib berkata konflik zalim yang berlanjutan di rantau itu memerlukan satu penyelesaian muktamad dan menyeluruh kerana rakyat Palestin mempunyai hak untuk menikmati kedamaian dan sebuah negara milik sendiri.

Najib, bagaimanapun, berkata Malaysia bersemangat dengan usaha pentadbiran baru pimpinan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang menegaskan kepentingan pembentukan dua negara sebagai penyelesaian konflik Timur Tengah.

Perdana Menteri berkata sudah ada perubahan besar dalam usaha Amerika dengan negara-negara lain di dunia, satu transformasi yang katanya tidak pernah dilihat sekurang-kurangnya sejak Perang Dingin berakhir.

"Kita kini mempunyai pentadbiran Amerika yang tampaknya bersedia untuk mendengar dan mengambil tindakan pragmatik daripada satu pendekatan yang berbentuk ideologi terhadap hubungan antrabangsa, termasuk isu-isu asas NAM seperti pelucutan dan pengawalan senjata nuklear dan Timur Tengah," katanya.

Mengenai krisis ekonomi dunia, Najib berkata terdapat potensi besar bagi negara-negara anggota NAM untuk berdagang dan melabur di kalangan mereka.

"Sementara pasaran di negara-negara maju semakin menguncup kerana pengguna-pengguna mereka kurang berbelanja dan lebih berjimat, kita boleh menerokai kaedah dan cara untuk meningkat serta mengukuhkan kerjasama di kalangan kita," katanya.

"Wujud ekonomi-ekonomi utama di kalangan anggota NAM, kita kaya dengan sumber-sumber bahan mentah dan kepakaran yang boleh kita gunakan untuk faedah bersama rakyat NAM," katanya.

Beliau berkata dagangan Malaysia dengan negara-negara anggota NAM berjumlah US$125 bilion tahun lepas atau 35.3 peratus daripada jumlah dagangan berbanding dengan Amerika, yang merupakan rakan dagangan utamanya berjumlah US$41.8 bilion atau 11.8 peratus.

Dengan Pusingan Pembangunan Doha mengenai perbincangan dagangan dunia kini terhenti, negara-negara Anggota NAM perlu untuk merancakkan dagangan semasa mereka dan meningkatkan ekonomi mereka, katanya.

Najib turut mencadangkan penggunaan prinsip kewangan Islam bagi membantu melegakan krisis semasa dan mengelakkannya berulang kembali.

Sebagai penyokong utama perbankan Islam, Perdana Menteri berkata Malaysia mencadangkan komuniti kewangan dunia secara serius mempertimbangkan untuk menggunakan sistem itu dengan pengubahsuaian sewajarnya.

Sementara itu di luar sidang kemuncak, Najib mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Mahmoud Abbas daripada Pihak Berkuasa Palestin dan Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan