Mahkamah benar Anwar peroleh sebahagian daripada dokumen kes liwat

Diterbitkan: Khamis, 16 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperoleh sebahagian daripada dokumen berkaitan kes liwatnya daripada pihak pendakwa.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan permohonan Anwar untuk mendapatkan sampel atau spesimen asal yang dikatakan diambil melalui ujian swab ke atas pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah sebentar tadi.

Hakim juga menetapkan supaya tindakan dan penyerahan yang diperintahkan disempurnakan dalam tempoh seminggu.

Mohamad Zabidin juga menetapkan sebutan semula bagi perbicaraan kes liwat Anwar dan permohonannya untuk menggugurkan kes berkenaan diadakan pada 24 Julai.

Bagaimanapun ketua pendakwaan, Peguam Cara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden memohon hakim mengekalkan keputusan tersebut kerana pihaknya ingin mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Hakim kemudiannya mengarahkan supaya pihak pendakwa mengemukakan permohonan tersebut secara rasmi.

"Pihak pendakwa boleh kemukakannya, anda ada tempoh selama 10 hari untuk berbuat demikian," kata Mohamad Zabidin.

Anwar pada 10 Jun lalu memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi supaya memerintahkan pihak pendakwa raya untuk membekalkan kepadanya semua dokumen berkaitan kes liwatnya secepat mungkin sebelum perbicaraan kes itu bermula.

Antara dokumen yang diminta ialah pita rakaman CCTV asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, kenyataan-kenyataan saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, kenyataan polis dan beberapa dokumen lain.

Dalam penghakiman ringkas Mohamad Zabidin, beliau mengarahkan pendakwa untuk membekalkan kepada peguam pembela salinan pitak rakaman CCTV yang diambil dari beberapa lokasi iaitu pondok pengawal dan lif kondominium berkenaan dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008.

"Sekiranya salinan yang jelas tidak dapat disediakan, peguam pihak pembela dibenarkan melihat rakaman asal di bawah pengawasan pegawai penyiasat atau mereka yang diarah oleh pegawai penyiasat," katanya.

Bagaimanapun bagi sampel atau spesimen asal yang diambil melalui ujian swab ke atas Saiful mahkamah tidak membenarkan untuk diserahkan kerana kesemua sampel tersebut kini berada dalam bungkusan yang masing-masing telah dimeterai oleh ahli kimia dengan meterai Jabatan Kimia.

"Oleh itu sebarang gangguan oleh sesiapa terhadap meterai tersebut sebelum ia dikemukakan di mahkamah di hari bicara akan mengganggu identiti dan rangkaian keterangan berhubung barang kes tersebut.

"Oleh itu permohonan pemohon untuk dibekal atau meneliti sampel-sampel tersebut pada peringkat ini tidak dapat dibenarkan... bagaimanapun pihak pembela boleh memohon untuk meneliti sampel-sampel tersebut setelah ia dikemukakan di mahkamah sebagai barang kes," katanya.

Selain itu mahkamah juga mengarahkan pihak pendakwa untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk membolehkan peguam pihak pembela melihat 'slide' yang dibuat semasa ujian atas sampel asal dan sampel atau spesimen asal Saiful di bawah pengawasan Pegawai Penyiasat dan ahli kimia yang menjalankan penganalisisan atas bahan-bahan tersebut.

Malah pendakwa juga diperintah untuk membekalkan salinan gambar-gambar 'slide' berkenaan serta nota-nota ahli kimia berkenaan pemeriksaan atau penganalisisan tersebut.

Mahkamah juga memerintahkan pendakwa untuk membekalkan senarai saksi yang akan dikemukakan oleh mereka dalam perbicaraan dan membekalkan salinan semua dokumen yang akan dikemukakan sebagai keterangan seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 51A(1)(b) Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Pihak pendakwa juga perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk membekalkan salinan nota-nota oleh semua doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dikatakan telah merawat dan memeriksa Saiful.

Hakim juga memerintah pendakwa untuk membekalkan laporan dari Hospital Pusrawi dan nota-nota berkenaan pemeriksaan ke atas Saiful.

"Sekiranya tiada laporan disediakan, satu pengesahan dari doktor berkenaan bahawa tiada laporan disediakan dan pengesahan ini hendaklah diserahkan kepada peguam bela bagi menggantikan laporan perubatan," kata Mohamad Zabidin.

Malah hakim juga mengarahkan supaya pendakwa menyerahkan salinan kenyataan enam saksi yang direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan.

"Dalam kes ini tiada apa-apa yang boleh mencadangkan bahawa dengan memberi salinan kenyataan saksi boleh prejudis kes pendakwa atau mengganggu gugat kepentingan awam.

"Sebaliknya jika pihak pembela dibekalkan dengan salinan kenyataan saksi akan membolehkan mereka mengetahui lebih awal dan jelas kes yang akan dikemukakan terhadap tertuduh," katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang ditemui selepas keputusan hakim menyatakan beliau gembira dengan keputusan tersebut.

"Bagaimanapaun kita terpaksa melalui proses seterusnya," katanya.

Pihak pendakwa berkemungkinan akan memfaikan permohonan mereka untuk mengekalkan keputusan tersebut bagi membolehkan mereka merayu berhubung keputusan itu esok.

Sementara itu peguam pembela, Edmund Bon berkata keputusan tersebut mencerminkan perkembangan positif bagi pindaan Seksyen 51A KAJ iaitu yang membolehkan seorang tertuduh memperoleh dokumen yang berkaitan sebelum perbicaraan.

"Saya gembira hakim Mahkamah Tinggi melihat dengan logik hujah-hujah yang kita berikan, ia merupakan satu keputusan yang penting dan dialu-alukan oleh semua pihak," kata Bon.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan