Keputusan mansuh PPSMI muktamad

Diterbitkan: Khamis, 16 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan Kabinet minggu lepas adalah muktamad, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis.

Katanya walaupun ada gesaan supaya dasar itu dikekalkan di peringkat sekolah menengah, namun pendirian kerajaan adalah konsisten dengan tidak mengekalkan status quonya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata yang penting sekarang, adalah mencari kaedah memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Ini termasuk memanggil pakar-pakar bahasa Inggeris dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulumnya yang baru.

"Setiap keputusan (Kabinet) mestilah konsisten, mungkin ada rasionalnya (sesuatu pandangan atau gesaan) kerana ia berdasarkan pengalaman. Dan saya tidak kata ia (cadangan itu) tidak bagus tetapi dalam konteks ini, kita mestilah konsisten selepas membuat sesuatu keputusan yang cukup besar (memansuhkan PPSMI)," katanya, selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pelajaran di sini.

Kabinet pada 8 Julai lalu memutuskan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Serentak itu, diumumkan juga strategi untuk memartabatkan bahasa Malaysia (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

Semasa mengumumkan keputusan itu minggu lepas, Muhyiddin berkata pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkat Empat di sekolah menengah yang bermula 2012.

Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak melibatkan Tingkatan Enam dan matrikulasi.

Beliau berkata untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan