Kekalahan tipis di Manek Urai simbol kebangkitan "gelombang biru" - TPM

Diterbitkan: Khamis, 16 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk bekerja lebih keras lagi untuk rakyat kerana sudah terdapat petanda kebangkitan semula "gelombang biru" melanda seluruh negara ketika ini.

Katanya kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan pembaharuan mesra rakyat serta diperkuatkan dengan kemenangan moral BN di Manik Urai baru-baru ini, kecekalan hati dan sikap tidak putus asa anggota perlu diperkuatkan lagi untuk mengekalkan mandat BN pada masa akan datang.

"Kita masih berkerajaan dengan mempunyai kuasa majoriti di peringkat negara meskipun di beberapa negeri menghadapi masalah. Dari Manik Urai, kita tidak pernah berputus asa dan saya yakin ada kebangkitan semula gelombang biru melanda seluruh negara. Oleh itu kita perlu berjuang dan kena kerja keras lagi, itu pokoknya," kata Muhyiddin yang juga pengarah jentera pilihan raya BN.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 kementerian itu di sini Khamis.

Pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai di Kelantan Selasa lalu, BN tewas tipis 65 undi kepada PAS dalam satu pertarungan yang disifatkan penganalisis sebagai sengit berikutan impak pembaharuan-pembaharuan untuk rakyat yang dilaksanakan pentadbiran Najib sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan 3 April lalu.

Muhyiddin yang turut mengulas kemelut politik di Selangor yang menyaksikan lima anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) BN termasuk bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo digantung menghadiri sidang dewan, berkata itu adalah kesannya jika BN lemah atau kehilangan majoriti dalam sesebuah negeri.

"Kita memang tahu cara politik mereka (pembangkang), mungkin mereka tidak tahan dengan hujah-hujah dan serangan bertubi-tubi yang datang dari BN sekaligus cuba menidakkan keberkesanan kita (BN) dalam dewan," katanya.

Beliau berkata walau apa pun, BN terima keputusan itu kerana sistem yang diamalkan "adalah majoriti jadi penentu".

Dewan Undangan Negeri Selangor semalam menggantung Dr Mohamad Khir selama setahun manakala empat Adun BN digantung selama enam bulan kerana kesalahan menghina Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) dalam media. Semua keistimewaan mereka sebagai wakil rakyat juga ditarik balik sepanjang tempoh penggantungan itu.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Manik Urai, Muhyiddin berkata, beliau sebenarnya kecewa dengan sikap Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tetap enggan menyahut cabaran beliau supaya mengutarakan bukti-bukti keupayaan PAS membangunkan Kelantan selama hampir 20 tahun.

"Datuk Nik Aziz sendiri tak dapat menjawab saya punya cabaran, saya kata kalau PAS membangun bersama Islam selama 20 tahun mentadbir Kelantan, apa yang telah mereka buat.

"Sampai habis pilihan raya (kecil Manik Urai) pun beliau tidak dapat jawab, sebab kalau jawab mereka akan kalah dengan bukti-bukti yang tidak meyakinkan pengundi...terbukti PAS telah gagal dan cuma gunakan Islam sebagai sandaran meraih sokongan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan