Pemilihan MIC: Samy Vellu restu Palanivel

Diterbitkan: Rabu, 15 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini berkata beliau memberikan sokongan kepada timbalannya Datuk G. Palanivel bagi mempertahan jawatan nombor dua parti itu pada pemilihan MIC pada 12 September.

Bercakap kepada Bernama melalui satu temubual telefon, pemimpin MIC itu juga berkata beliau juga menyokong Menteri Sumber Manusia dan Setiausaha Agung Parti itu Datuk Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Ketua Penerangan MIC Datuk M. Saravanan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S. K. Devamany bagi ketiga-tiga jawatan Naib Presiden.

MIC akan mengadakan pemilihan parti pada 12 Sept bagi memilih pemegang jawatan utama timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC).

Pada pemilihan Presiden, Mac lepas, Samy Vellu menang tanpa bertanding jawatan tertinggi parti bagi penggal ke-11.

Setakat ini, bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam dan penyandang naib presiden Datuk S. Sothinathan telah mengumumkan hasrat masing-masing untuk bertanding jawatan nombor dua MIC.

Sementara itu, Palanivel telah mengumumkan bahawa beliau akan mempertahan jawatannya pada perhimpunan agung parti yang dijangka dihadiri kira-kira 1,400 perwakilan seluruh negara.

Beberapa pemimpin telah mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding bagi jawatan naib presiden.

Penyandang naib presiden adalah Sothinathan dan Datuk S. Veerasingham. Seorang lagi penyandang Tan Sri K.S. Nijhar melepaskan jawatan itu tahun lepas selepas perbalahan kecil dengan Samy Vellu tetapi kedua-duanya berbaik semula selepas itu.

"Saya ingin mengumumkan bahawa saya menyokong Datuk G. Palanivel bagi jawatan Nombor 2 kerana beliau seorang yang efisyen, kuat dan seorang yang sederhana. Saya harap para anggota dan perwakilan akan memberikan sokongan kepada beliau untuk kesinambungan.

"Saya mahu satu pasukan yang boleh berkhidmat dan mengukuhkan parti dan oleh itu, saya juga menyokong Dr Subramaniam, Saravanan dan Devamany bagi tiga kerusi naib presiden," kata Samy Vellu.

Mengenai tiga orang yang mendapat sokongan beliau bagi jawatan naib presiden, Samy Vellu berkata ketiga-tiga mereka kini memegang jawatan dalam kerajaan dan oleh itu mereka berada di dalam kedudukan yang baik untuk berkhidmat kepada masyarakat India.

Samy Vellu juga berkata beliau sedang menyenaraikan nama-nama calon bagi 23 anggota jawatankuasa kerja pusat dan akan memberikan sokongan kepada beberapa muka baru.

"Saya akan umumkan senarai penuh tidak lama lagi. Saya umumkan barisan saya sekarang bagi memaklumkan para anggota dan perwakilan bahawa mereka merupakan pasukan yang akan menguruskan hal ehwal MIC secara lebih berkesan dan bagi mendekatkan parti dengan masyarakat," katanya.

Samy Vellu juga berkata beliau telah menjaga parti itu sejak 29 tahun yang lalu dan membinanya daripada hanya 120,000 anggota kepada 630,000 anggota dan daripada 700 cawangan sehingga menjadi 3,300 cawangan di seluruh negara.

"Semuanya hanya dapat dilakukan melalui usaha secara berpasukan yang konstruktif yang diwujudkan di kalangan para pemegang jawatan utama saya.

"Saya fikir sebagai seorang pemimpin saya mempunyai tanggungjawab untuk menyerahkan parti itu kepada orang yang tepat. Saya telah banyak memikirkan perkara itu sejak dua bulan kebelakangan ini mengenai cara untuk menjalankan pemilihan itu dan saya memutuskan bahawa saya akan menyokong pasukan yang akan menyokong untuk MIC bagi masa depan yang lebih baik," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan