Palanivel berbesar hati dengan sokongan Samy Vellu

Diterbitkan: Rabu, 15 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel merakamkan terima kasih kepada presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu kerana menyokong beliau untuk mengekalkan jawatannya dalam pemilihan parti yang akan berlangsung dua bulan lagi.

"Saya sememangnya, berbesar hati kepada presiden kerana menyokong saya untuk jawatan itu. Saya sentiasa percaya bahawa selaku timbalan, anda perlu akur kepada apa jua keputusan yang dibuat oleh presiden.

"Saya akan melakukan yang terbaik bagi memenuhi harapan, keyakinan dan kepercayaan yang diletakkan kepada saya oleh parti, anggotanya dan masyarakat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Terdahulu pada hari Rabu, Samy Vellu mengumumkan beliau menyokong Palanivel untuk mengekalkan jawatan itu pada pemilihan parti 12 Sept ini. Pemilihan parti, yang akan disertai oleh 1,400 perwakilan bahagian, akan memilih seorang timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti.

Jawatan timbalan presiden dijangka menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan Palanivel, bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam dan penyandang naib presiden Datuk S. Sothinathan.

Subramaniam dan Sothinathan telah pun mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding jawatan kedua tertinggi parti.

Samy Vellu turut mengumumkan bahawa Menteri Sumber Manusia dan setiausaha agung MIC Datuk Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan ketua penerangan parti Datuk M. Saravanan serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S. K. Devamany adalah tiga naib presiden "terpilih".

Sementara itu, Saravanan turut merakamkan penghargaannya kepada presiden MIC, sambil berkata beliau akan membalas semula keyakinan itu dengan kerja keras demi kebaikan parti dan kaum India.

Beliau percaya perwakilan ke perhimpunan itu September ini akan menyokong calon pilihan presiden.

Devamany berkata meskipun tanggungjawab yang digalas adalah berat, beliau akan melaksanakannya dengan tekun, sambil menambah anggota parti juga perlu berusaha ke arah menyatupadukan masyarakat dan memastikan MIC menjadi sebuah institusi politik yang dihormati.

Dalam satu kenyataan, Dr Subramaniam berkata beliau menghargai keputusan presiden "yang saya percaya berasaskan kepada keperluan parti."

"Saya telah melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada saya sehingga kini dengan tekun serta penuh keikhlasan dan saya akan terus berbuat demikian pada masa depan dalam apa jua jawatan yang diamanahkan kepada saya," katanya.

Sementara itu, penyandang naib presiden Datuk S. Veerasingham berkata beliau tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti September ini.

"Saya akan meluangkan masa untuk berkhidmat kepada masyarakat di Perak atas kedudukan saya sebagai penasihat kepada Menteri Besar. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada presiden parti dan semua pemimpin MIC kerana memberikan sokongan dalam kerjaya politik saya.

"Dalam MIC, kami adalah sebuah keluarga besar dan selaku sebuah parti yang demokratik, akan ada pemilihan serta pertandingan dan selepas pemilihan berlangsung, kita perlu bekerja sebagai sebuah pasukan yang besar," katanya dalam satu kenyataan.

Veerasingham turut menasihati anggota parti yang berhasrat menjadi pemimpin supaya mendengar suara di peringkat akar umbi kerana "apabila mereka bercakap dengan anda, mereka bercakap mengenai masalah di peringkat akar umbi."

"Saya tidak dapat melupakan sokongan yang telah saya terima daripada akar umbi. Saya sentiasa setia kepada Barisan Nasional serta MIC dan akan terus berkhidmat kepada masyarakat," katanya.

Selain Veerasingham, penyandang lain bagi jawatan timbalan presiden ialah Sothinathan. Seorang lagi, Tan Sri K. S. Nijhar, meletak jawatan tahun lepas. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan