Liong Sik, Tee Keat beri keterangan kepada PAC hari ini

Diterbitkan: Rabu, 15 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat akan memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada inkuiri dua hari berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), bermula hari ini.

Dr Ling akan memberi keterangan pada pukul 11 pagi Rabu, manakala Ong pula pada pukul 2 petang hari berikutnya di Bangunan Parlimen.

"Kami juga telah menghantar surat meminta (bekas menteri pengangkutan) Tan Sri Chan Kong Choy menghadirkan diri, tetapi beliau belum lagi memberi jawapan kepada kami," kata timbalan pengerusi jawatankuasa itu Dr Tan Seng Giaw apabila dihubungi Selasa.

Dr Ling menyandang jawatan menteri pengangkutan dari 1986 hingga 2003 sebelum diambil alih oleh Chan dari 1 Julai 2003 hingga 18 Mac tahun lepas. Chan kemudiannya diganti oleh Ong.

Dr Ling dan Ong berkata mereka akan memberi kerjasaam penuh kepada jawatankuasa itu.

Dr Tan berkata PAC telah memanggil beberapa individu lain, termasuk ketua pegawai eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Datuk Seri Tiong King Sing, yang juga pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional dan presiden Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (syarikat yang menjual tanah berkenaan kepada KDSB) Datuk Abdul Rahman Palil untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.

Beliau bagaimanapun berkata mereka yang dipanggil oleh jawatankuasa itu tidak bererti ada melakukan kesalahan.

PKFZ, sebuah hub pengangkutan yang dibina di kawasan seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang, yang turut menempatkan gudang, blok pejabat dan sebuah hotel empat bintang, mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

PKA membeli tanah PKFZ seluas 1,000 ekar di Pulau Indah daripada KDSB pada 2002 dengan harga RM25 sekaki persegi. KDSB kemudian dilantik sebagai pemaju bagi projek siap guna itu.

Isu itu melibatkan kepentingan awam kerana PKA memperoleh pinjaman RM4.632 bilion dengan kadar faedah rendah daripada Kementerian Kewangan bagi membiayai projek berkenaan.

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik PKA bagi tujuan itu, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.

Bulan lepas, PAC memanggil beberapa individu, termasuk pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Datuk Lee Hwa Beng, untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.

PAC juga mengadakan perjumpaan dengan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan pesuruhjaya penyiasatan SPRM Datuk Mohd Shukri Abdul berhubung perkara itu.

Pada 14 Jun, Ong berkata 300 naskhah laporan audit PwC tentang PKFZ akan dihantar ke Parlimen pada hari berikutnya bagi tujuan diedarkan kepada semua Anggota Parlimen.

Bagaimanapun, kata beliau, terpulanglah kepada Parlimen bagi memutuskan bilakah naskhah itu akan diedarkan kepada mereka.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee berkata dokumen berkenaan telah diserahkan kepada setiausaha Parlimen tetapi dokumen yang digunakan PAC dalam siasatannya, akan hanya diserahkan kepada Dewan itu setelah siasatan selesai dijalankan.

Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata laporan penuh tentang skandal PKFZ itu akan siap dalam masa tiga bulan dan akan dibentangkan di Parlimen pada sidangnya Oktober ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Hueng, yang pernah berkhidmat sebagai pengerusi PKA bagi tempoh 2007-2008, berkata beliau tidak menerima sebarang notis supaya hadir memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.

Beliau juga menafikan wujudnya percanggahan kepentingan dengan berkata beliau menerima tugas sebagai pengerusi PKA kerana menganggapnya sebagai "tugas negara". BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan