Kes Anwar: Prosiding diteruskan tanpa peguam utama

Diterbitkan: Rabu, 15 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur pagi tadi.--fotoTHE STAR oleh Chan Tak Kok
DATUK Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur pagi tadi.--fotoTHE STAR oleh Chan Tak Kok

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan prosiding kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diteruskan walaupun tanpa peguam utama, Sulaiman Abdullah yang menarik diri dari mengetuai kes berkenaan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perkara itu atas dasar salah seorang daripada lapan peguam Anwar boleh menggantikan Sulaiman bagi mengetuai pihak pembelaaan.

Katanya, kesemua peguam Anwar telah mengikuti prosiding itu sejak hari pertama.

Sulaiman menarik diri kerana menghadapi masalah kesihatan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak minggu lalu.

Beliau dilaporkan menghadapi masalah pening kepala yang agak teruk dan tidak dapat mewakili mana-mana kes termasuk kes Anwar.

Perbicaraan bagi permohonan dokumen yang berjalan selama hampir dua jam itu ditangguhkan pada pukul 5.10 petang tadi.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam pembela, Edmund Bon menegaskan bahawa pihaknya mahu pihak pendakwa raya menyerahkan semua dokumen dan bukti yang berkaitan sebelum perbicaraan kes liwat berkenaan bermula.

Katanya pihak pendakwa raya ada menyerahkan beberapa dokumen yang diminta sebelum ini namun ia masih belum lengkap.

"Mereka sepatutnya menyerahkan semua dokumen yang berkaitan berdasarkan Artikel 51 A iaitu semua dokumen dan bukti perlu dikemukakan tiga minggu sebelum perbicaraan bermula," kata Edmund dalam hujahannya.

Antara dokumen yang diminta ialah pita rakaman CCTV yang asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, kenyataan-kenyataan saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, kenyataan polis dan beberapa dokumen lain.

Edmund menjelaskan lagi, pihaknya mahu semua dokumen itu dikemukakan sebelum perbicaraan kerana dokumen itu amat diperlukan, relevan dan mustahak bagi pihaknya untuk menyediakan pembelaan dengan secukupnya dan secara bernas.

Katanya, oleh kerana kes itu melibatkan keterangan DNA dan rakaman CCTV, beliau perlu mendapatkan pakarnya sendiri untuk memeriksa sampel-sampel DNA serta rakaman CCTV dan melakukan ujian yang sewajarnya.

"Mereka ada berikan salinan bercetak gambar dari beberapa lokasi hasil daripada rakaman CCTV, kemudian mereka serahkan CD (cakera padat) yang mengandungi salinan gambar berkenaan.

"Tapi kami mahukan rakaman asal CCTV berkenaan untuk diuji oleh pakar," katanya.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 23, di Unit 1151, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pihak pendakwaan berkata pihak pembelaan tidak memahami maksud sebenar yang terkandung dalam Artikel 51.

"Artikel 51 menyebut satu arahan supaya menyerahkan dokumen dan barang yang berkaitan, manakala Artikel 51 A bermaksud hak untuk memperoleh dokumen berkenaan.

"Bagaimanapun kita sudah menyerahkan dokumen yang mereka mahukan...harus diingat dokumen.

"Sampel darah atau sampel rambut bukanlah dokumen, namun kita tetap membekalkan mereka laporan bagi bahan-bahan berkenaan," kata Yusof.

Kata beliau lagi, beberapa bukti sememangnya tidak dapat diberikan kepada pihak pembelaan kerana telah disimpan rapi sehinggalah mahkamah mengarahkan untuk mengemukakannya sewaktu perbicaraan berlangsung nanti.

Beliau menegaskan tidak timbul isu pihak pembelaan menyembunyikan dokumen dan bukti-bukti berkenaan kerana apa yang boleh diserahkan telahpun diserahkan.

"Apa yang boleh kita serah, kita dah serahkan," katanya.

Prosiding disambung esok pada pukul 9 pagi.

BERITA TERDAHULU

Prosiding kes liwat Anwar ditangguh hingga 2 petang

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini yang dijadual mendengar dua prosiding berkaitan dengan kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan prosiding itu sehingga 2 petang ini.

Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan mendapatkan dokumen dan sebutan kes menentukan tarikh perbicaraan.

Ia dijadual didengar pagi ini di hadapan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pihak pembela memohon kepada hakim pagi tadi untuk menunda kes hari ini bagi mereka merancang semula strategi dan menentukan siapa yang akan mengetuai pembelaan.

Bagaimanapun hakim mahu prosiding diteruskan hari ini.

Hakim hanya memberi masa sehingga pukul 2 petang.

Ia diputuskan dalam kamar hakim.

Prosiding yang sepatutnya diadakan pada 8 Julai lalu terpaksa ditangguhkan ke hari ini berdasarkan permohonan pihak pembelaan ekoran peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami masalah kesihatan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa pihak pembelaan menerima surat daripada pihak hospital bertarikh 6 Julai yang menyatakan Sulaiman perlu menjalani pemeriksaan lanjut selama seminggu kerana menghadapi masalah pening kepala.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau dimaklumkan Sulaiman menghadapi masalah kesihatan yang agak teruk.

"Saya dimakkumkan mengenai masalah kesihatan Haji Sulaiman yang kini agak teruk lewat petang semalam.

"Beliau tidak boleh teruskan kes saya ini dan juga mana-mana kes lain, beliau terpaksa menarik diri dari kes ini...ia adalah berita yang menyedihkan bagi barisan pembelaan.

"Oleh itu saya perlu berbincang semula dengan barisan peguam yang lain untuk menentukan penggantinya," katanya semasa ditemui di dalam mahkamah.

Sementara itu, wakil peguam Anwar, Sankara Nair ketika ditemui berkata, pihaknya cuba untuk meminta hakim menangguhkan prosiding hari ini bagi memberi peluang kepada anak guam mereka menentukan pengganti Sulaiman.

Bagaimanapun katanya hakim menolak dengan alasan Anwar boleh diwakili oleh mana-mana peguam yang terlibat dalam kumpulan pembelaan ini.

"Jadi kita terpaksa untuk berbincang dahulu mengenai kedudukan kes ini.

"Buat masa ini kita belum kenal pasti siapa yang akan menggantikan Sulaiman," katanya.

Ditanya sama ada salah seorang peguam Anwar akan mengetuai kes Anwar, Sankara berkata tidak ada seorang dari mereka yang layak untuk memikul tanggungjawab tersebut.

"Pengganti Sulaiman mestilah setaraf dengannya dari segi senioriti, kami masih junior malah saya sendiri masih belum capai tahap beliau terutamanya kecekapannya dalam berbahas," katanya.

Sankara juga berkata jika sehingga pukul 2 petang ini pihaknya masih belum menemui pengganti yang sesuai, mereka berkemungkinan akan menemui semula hakim bagi memohon supaya mempertimbangkan supaya kes ini ditangguhkan.

"Untuk mencari pengganti bukannya mudah, kami memerlukan masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu.

"Malah Datuk Seri Anwar mempunyai hak untuk menentukan siapakah peguam yang akan mewakilinya di bawah Seksyen 5 Perlembagaan Persekutuan...kami hanyalah peguam pembantu," katanya.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 23, di Unit 1151, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Sementara itu di luar Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta, pihak polis mula membuat kawalan keselamatan seawal pukul 6.45 pagi.

Kawalan tersebut adalah bagi mengawal sebarang kemungkinan terutamanya dikalangan penyokong Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan