Kerajaan Pulau Pinang sendiri sempurnakan suratan hak milik Kg Buah Pala

Diterbitkan: Rabu, 15 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Seorang bekas anggota exco kerajaan Pulau Pinang pada hari Rabu membidas tindakan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang yang asyik menyalahkan pentadbiran terdahulu berhubung isu penjualan tanah di Kampung Buah Pala, Gelugor di sini sedangkan mereka sendiri yang memuktamadkan urusan itu tahun lalu.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan berkata kerajaan negeri yang baru mungkin tidak sedar bahawa mereka merestui keputusan pentadbiran terdahulu apabila menyempurnakan suratan hak milik tanah kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang kira-kira 19 hari selepas memenangi pilihan raya umum pada Mac 2008.

"Sebaik sahaja mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri, pakatan pembangkang menandatangani surat pemindahan milikan tanah kepada Koperasi itu pada 27 Mac 2008," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Riben Ungu sebagai lambang memerangi keganasan di Ibu Pejabat Gerakan Negeri, di sini.

Dr Teng, yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, berkata pentadbiran baru negeri menerima baki bayaran premium tanah berjumlah RM2.47 juta pada 14 Mac 2008 dan pada 23 Mei tahun sama, Exco membuat keputusan menuntut balik bayaran diskaun 50 peratus yang diberikan kepada pemilik baru tanah berkenaan.

"Ini menunjukkan kerajaan pakatan pembangkang sebenarnya telah mengambil tindakan untuk menyempurnakan keputusan yang dibuat kerajaan terdahulu. Jika mereka benar-benar serius, kerajaan negeri boleh menggunakan peluang itu untuk membuat keputusan baru dan tidak menyempurnakan suratan hak milik itu," katanya.

Dr Teng berkata kerajaan terdahulu mengambil masa agak lama untuk meluluskan penjualan tanah itu kepada koperasi berkenaan walaupun menerima permohonan daripada koperasi pada 2001 kerana mahu memperjuangkan kebajikan penduduk terlibat.

Menurutnya, dua bekas exco, P. Subbaiyah dan Datuk Koay Kar Huah terlibat dalam usaha memperjuangkan pampasan untuk penduduk itu.

Kerajaan terdahulu memberikan diskaun sebanyak 50 peratus untuk premium tanah itu daripada RM6.42 juta kepada RM3.21 juta kerana tanah milik koperasi di sebelah Dewan Seri Pinang diambil untuk kompleks mahkamah dan ditukarkan dengan tanah di Kampung Buah Pala.

Selain itu, koperasi juga perlu membayar pampasan kepada penduduk yang akan dipindahkan dan pemaju diminta memberikan diskaun tujuh peratus kepada ahli koperasi yang membeli projek perumahan yang dibangunkan di tanah itu kelak. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan