Dr Khir digantung sidang setahun, 4 ADUN BN kena 6 bulan

Diterbitkan: Rabu, 15 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul menggantung bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo selama setahun dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) lain selama enam bulan dengan keistimewaan kepada mereka dilucutkan.

Berikutan itu, 17 ADUN BN yang merupakan pembangkang di negeri itu diketuai Dr Mohamad Khir bertindak keluar Dewan sebagai memprotes usul meluluskan cadangan hukuman itu telah dibuat dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan (JKHK).

Kesemua ADUN BN berjumlah 20 tetapi tiga tidak hadir pada persidangan DUN hari ini iaitu Datuk Abdul Rahman Palil (Sementa), Datuk Mohamed Hatim Diman (Sri Serdang) dan Mohamed Idris.

JKHK sebelum ini telah mencadangkan Dr Mohamad Khir digantung daripada menghadiri sidang Dewan dan elaunnya dipotong selama setahun kerana kegagalannya menghadiri pendengaran awam Jawatan Kuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT)) mengenai Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS).

Jawatankuasa itu juga telah mencadangkan supaya empat ADUN BN iaitu Datuk Marsum Paing (Dengkil), Datuk Warno Dogol (Sabak), Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Mohamed Idris Abu Bakr (Hulu Bernam) digantung daripada menghadiri sidang Dewan dan elaun dipotong selama enam bulan kerana didapati bersalah menghina SELCAT di dada akhbar.

Dr Mohamad Khir yang juga Ketua Pembangkang dalam ucapan perbahasannya mengenai usul itu sebelum melangkah keluar dewan berkata usul itu dibawa dan dibahaskan adalah bertujuan untuk menutup mulut pembangkang (BN) di dalam Dewan.

Dr Mohamad Khir berkata walaupun SELCAT dan JKHK adalah jawatankuasa dewan tetapi kesalahan beliau tidak menghadiri pendengaran awam SELCAT dan tindakan rakan-rakannya mengeluarkan kenyataan terhadap SELCAT di akhbar tidak sepatutnya dianggap menghina Dewan.

Ini adalah kerana istilah "Dewan" di bawah Perkara 77 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 ialah "dewan yang bersidang" sedangkan pendengaran SELCAT dan kenyataan yang dikeluarkan oleh empat Adun BN itu berlaku di luar sidang dewan undangan negeri, katanya.

Beliau juga mempersoalkan kenapa SELCAT mengadakan pendengaran awam terhadap isu BALKIS sedangkan badan itu adalah di bawah kuasa Pendaftar Pertubuhan bukannya kerajaan negeri kerana ia adalah badan bukan kerajaan.

Dr Mohamad Khir juga mempersoalkan mengapa beliau perlu dipanggil kerana beliau bukannya ahli BALKIS dan usul itu tidak sepatutnya dibawa ke dalam Dewan.

Seperkara lagi, beliau berkata terdapat pertembungan kepentingan bagi Speaker Dewan Undangan Negeri Teng Chang Khim dalam isu ini kerana beliau mempengerusikan SELCAT dan JKHK.

Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) yang membawa usul itu kemudian bangun mencelah dan menjelaskan Teng tidak mengundi di dalam membuat cadangan penggantungan Dr Mohamad Khir dan empat lagi rakannya.

Bagaimanapun, Dr Mohamad Khir berkata memang Teng tidak mengundi tetapi beliau mengambil bahagian semasa dirinya dan peguamnya dipanggil memberi keterangan kepada JKHK.

Katanya sepatutnya Teng tidak boleh mengambil bahagian di dalam prosiding JKHK dan dialog di antara Teng dan peguam beliau telah direkodkan secara verbatim dan meminta Lau melihat rekod itu.

Dr Mohamad Khir memberi contoh kes di mana anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang digantung setahun kerana didapati bersalah menghina Dewan dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak masuk campur di dalam jawatankuasa yang menyiasat.

Beliau berkata:"(Keputusan) Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan tidak sah, tercemar, berniat buruk. Pembangkang (BN) tidak bersekongkol dengan satu keputusan yang tercemar, berat sebelah dan mala fide (berniat buruk)... tidak mahu terlibat dengan keputusan yang memualkan." BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan