Usaha penyatuan ummah Melayu wajib dirintis - Raja Nazrin

Diterbitkan: Selasa, 14 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Usaha penyatuan ummah Melayu amat wajib dirintis bagi membina modal keupayaan dalam semangat serumpun bangsa dan sealiran agama, titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat, titah baginda dalam titah utama bertajuk 'Islam dan Melayu: Modal Pengupayaan Umat' di Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di sini hari ini.

Titah baginda, kesetiaan kepada perjuangan yang murni lagi suci haruslah mengatasi kesetiaan kepada individu atau kesetiaan kepada kumpulan.

"Berpijaklah kepada kenyataan berpandulah kepada akal fikiran. Semarakkan semangat silaturahim hayati semangat bermaafmaafan, bahawa Melayu itu bangsamu dan Islam itu agamamu.

"Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui hakikat keesaan Allah, Tuhan yang satu, dan Nabi Muhammad S.A.W. itu adalah Rasul Junjungan, Quran itu kitab pegangan, dan secara bersama sepakat menghadap kiblat melakukan ibadat sembahyang, serta menerima orang-orang Islam itu sebagai saudara," titah baginda.

Titah baginda, umat Melayu Islam hari ini sedang menghadapi cabaran besar menyentuh identiti, maruah, martabat dan kelangsungan bangsanya.

"Bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifatsifat towering personality (personaliti melangit) jauh lebih kecil.

"Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah," titah baginda.

Titah baginda, budaya berpolitik yang sedang berlaku telah memunculkan ketaksuban baru, menjelmakan budaya asabiah, menganjurkan pemikiran bahawa kesetiaan kepada kumpulan wajib diutamakan daripada kepentingan kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh.

Baginda bertitah akhirnya manusia Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan mencari kelemahan antara satu sama lain dengan kata-kata yang diungkapkan mahupun tindakan yang dilakukan, semakin sehari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah yang lebih rendah.

"Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang akan terus berlaku lagi. Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat dan memperdaya bangsa demi memenuhi nafsu sendiri.

Raja Dr Nazrin bertitah bangsa Melayu bagaikan sedang menghitung hari untuk dapat terus bertahan di tampuk kuasa.

"Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan, akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang, kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu. Kukur apa kepada kukur, kelapa juga yang binasa," titah baginda.

Baginda bertitah demi meningkatkan keupayaan modal umat, insan Melayu Islam wajib belajar dari kesilapan, wajib meneliti ketelanjuran yang telah dilakukan, dan kembali ke pangkal jalan serta melakukan pembetulan.

"Insan Melayu Islam hendaklah bijaksana mengenal kawan hendaklah arif mengenal lawan; jauhkan diri dari berpatah arang berkerat rotan dan merenung akan pentingnya menjiwai semangat kiambang yang kembali bertaut selepas biduk berlalu.

"Jangan sampai umat Melayu Islam menjadikan dirinya kuda trojan memudahkan musuh masuk ke dalam kota bangsanya," titah baginda.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Azlan Shah dalam titah perasmian muzakarah itu bertitah bangsa Melayu hendaklah berusaha untuk bersatu dengan mengambil ingatan pesanan orang tua-tua 'Bersatu Teguh, Bercerai Roboh'.

Baginda bertitah Islam menganjurkan perpaduan dan kuat atau lemahnya sesuatu bangsa bergantung kepada kejayaan bangsa membina perpaduan.

"Dalam hasrat mahu membina perpaduan yang lebih kukuh, bangsa Melayu perlu bijak mencari kejernihan dan membuang yang keruh bersandarkan semangat Islam itu adalah persaudaraan.

"Bangsa Melayu hari ini perlu berusaha mencari titik pertemuan supaya bangsa Melayu akan terus memiliki daya tahan dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi," titah baginda.

Sebanyak tiga kertas kerja akan dibentangkan dalam muzakarah sempena ulang tahun keputeraan ke-81 Sultan Azlan yang berakhir esok masing-masing oleh Presiden Kolej Dar AlHikmah, Kajang, Datuk Dr Sidek Fadzil; Naib Canselor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Melaka (KUIM) Prof Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusuf Hashim dan Presiden Teras Keupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan