Pemilihan Presiden MCA secara terus oleh anggota pada 2011

Diterbitkan: Ahad, 12 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA, parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar, bersedia untuk menjalankan pemilihan presiden parti secara terus oleh anggotanya sewaktu pemilihan parti akan datang yang dijangka pada 2011.

Setiausaha Pengelola MCA Kebangsaan Yoo Wei How berkata parti itu telah melengkapkan cadangan untuk penstrukturan semula parti itu bagi membolehkan pemilihan secara terus dijalankan dan cadangan itu akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Presiden MCA akan datang.

Pemilihan Presiden MCA dilakukan oleh kira-kira 2,000 delegasi yang akan mengundi bagi memutuskan siapa yang patut memimpin parti.

Bagaimanapun, mengikut cadangan itu, pemilihan presiden parti akan diperluaskan kepada peringkat bahagian dan cawangan di mana anggota biasa boleh memilih sendiri presiden parti.

"Saya akan bentangkannya pada mesyuarat majlis presiden akan datang, kemudian dapatkan kelulusan majlis presiden di mana mereka akan menyampaikan mesej kepada pemimpin negeri untuk sesi percambahan fikiran dan mendapatkan maklum balas daripada akar umbi.

"Kami mempunyai beberapa cadangan tentang menstrukturkan semula organisasi kami bagi membenarkan pemilihan secara terus dilaksanakan. Kerana kami mahu menjadikan ia telus dan dengan penyertaan daripada akar umbi, kami akan menjalankan usaha untuk mendapatkan maklum balas anggota berkenaan cadangan kami," katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Bagaimanapun, Yoo enggan memberikan maklumat lanjut cadangan itu dan hanya berkata ia mengandungi beberapa cadangan tentang cara sistem pemilihan terus perlu dijalankan dan mekanisme pelaksanaannya tetapi masih belum boleh didedahkan kerana ia masih bergantung kepada kelulusan Majlis Presiden serta peringkat akar umbi.

Katanya selepas Majlis Presiden memberikan kelulusan, cadangan itu akan diberikan kepada akar umbi untuk maklum balas sebelum ia dilaksanakan tetapi beliau yakin perancangan itu akan siap pada hujung tahun ini.

Yoo berkata MCA telah mengkaji pelbagai model termasuk daripada parti pemerintah Taiwan, Kuomintang (KMT), yang pada satu ketika mempunyai dua juta anggota sebelum ditewaskan pada pilihan raya presiden tahun 2000.

Selepas itu, parti berkenaan telah menjalankan kempen dan usaha pertama bagi pendaftaran semula di mana mereka berjaya mendapatkan 520,000 anggota. Selepas itu mereka melakukan usaha kedua di mana KMT berjaya menambah anggotanya kepada 900,000.

Selepas berjaya menguasai semula kerajaan pada pilihan raya presiden tahun lepas, keanggotaan mereka meningkat kepada 1.2 juta.

"Bagaimanapun, kami tidak bercadang untuk mendaftarkan semula anggota kami. Kami hanya akan membersihkan senarai keanggotaan kami dengan cara lain. Pada ketika ini, keanggotaan kami adalah 940,000 daripada 1.08 juta anggota sebelum ini. Kami membersihkannya dengan menyingkirkan mereka yang tidak membayar yuran keanggotaan tahunan," kata Yoo.

Katanya dalam masa dua tahun akan datang, ia akan menjadi "tempoh peralihan" bagi parti itu kerana mereka akan meneruskan proses membersihkan senarai keanggotaan selain menjadikan anggota parti itu sebagai pemilih berdaftar.

Beliau beberapa anggota dan pemimpin parti masih tidak memahami bahawa bilangan keanggotaan parti bukanlah kebimbangan utama berbanding prestasi parti dalam pilihan raya umum.

"Beberapa orang menghubungi saya dan bertanya kenapa kami kurangkan bilangan itu (menerusi pembersihan keanggotaan) ketika partiparti lain menambah anggota mereka. Tidak cukup anggota bagaimana hendak berunding. Bagaimanapun saya beritahu mereka, seperti apa yang dikatakan presiden, apa yang diperlukan MCA sekarang adalah anggota yang mantap, bukan hanya kita "syok sendiri" dengan bilangan.

"Apa guna kita ada bilangan yang ramai dalam parti tetapi tidak dapat membantu dalam pilihan raya umum? Saya tahu beberapa daripada mereka mahukan bilangan supaya dapat mengekalkan kedudukan mereka dalam parti tetapi mereka tidak sedar pilihan raya umum jauh lebih penting dan perlu lebih diutamakan," katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Yoo berkata parti itu akan menjadi tidak relevan jika mereka tidak menang dalam pilihan raya umum dan oleh itu, sasaran utama adalah pilihan raya umum, bukan pemilihan parti.

"Kami pelajarinya daripada KMT. Saya juga berharap anggota parti juga akan mempelajari hakikat ini," katanya.

Mengenai proses membersihkan senarai anggota parti, Yoo berkata mereka telah menemui "beberapa perkara luar biasa" seperti lebih 200 orang berkongsi alamat yang sama dan malah tanpa sebarang nombor telefon untuk dihubungi.

"Kini kami mempunyai nombor telefon keanggotaan yang baru di mana pemohon diwajibkan menyatakan nombor telefon mereka, jika tidak permohonan mereka akan ditolak. Selain itu, kami juga akan mengesahkan maklumat yang diberikan dengan menghubungi pemohon serta pencadang mereka sebelum kami luluskan keanggotaan," katanya.

Perubahan lain yang sudah dilakukan dalam parti adalah mereka tidak akan membenarkan lagi sebarang amalan untuk membuka banyak cawangan dalam satusatu kawasan, sebaliknya menggalakkan mereka memperluaskannya ke kawasan lain.

"Sebagai contoh, ada lebih daripada 10 cadangan di sesebuah kampung baru di mana dua cawangan sebenarnya sudah mencukupi. Anda boleh perluaskan cawangan itu ke kawasan lain, supaya anda boleh berkhidmat untuk lebih ramai orang, tanpa mengira ia kawasan majoriti orang Cina atau tidak. Apa guna wujudkan 10, 15 malah 20 cawangan dalam satu kampung baru. Ia hanya angka. Jadi berikan tumpuan lebih kepada pilihan raya umum," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan