11 'hadiah' bukan pengumuman populis - Najib

Diterbitkan: Ahad, 12 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak bersama moderator Sayed Munawar Jamalullail (kiri) pada program
PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak bersama moderator Sayed Munawar Jamalullail (kiri) pada program "100 Hari Perdana Menteri" di Angkasapuri malam ini. Program satu jam itu dipancarkan secara langsung menerusi TV1 mulai 8.30 malam. -- fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Sebanyak 11 'hadiah' yang diumumkan semalam bukan langkah populis untuk memikat rakyat, tetapi ia dibentuk hasil input orang ramai sepanjang 100 hari pertama menjadi Perdana Menteri, kata Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Justeru, Najib menjelaskan, pada peringkat awal selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang keenam 3 April lalu beliau hanya memfokuskan soal ekonomi dan stail kepimpinan pentadbiran.

"Saya ikut pada keadaan... bila mana saya ambil alih (jawatan Perdana Menteri), saya umumkan beberapa perubahan dasar.

"Saya beri tumpuan pada soal ekonomi, saya beri penegasan kepada stail kepimpinan.

"Setelah 100 hari (menjadi Perdana Menteri), baru saya umumkan perkara ini. Bererti saya bukan berdiri atas platform kerajaan populis (untuk mengumumkan perkara ini).

"Tetapi, saya dah kata dari hari pertama (bahawa) ini kerajaan yang rakyat didahulukan. Saya, dalam ucapan saya semalam, saya katakan pengumuman (semalam) adalah mengenai rakyat," kata beliau ketika diwawancara sejam oleh saluran tv1 sempena 100 hari pertama menyandang jawatan Perdana Menteri, malam ini.

Tempoh 100 hari pertama itu genap semalam. Semalam telah diadakan majlis "100 Hari Najib Bersama Rakyat" di ibu negara.

Najib mengulas pandangan sesetengah pihak bahawa pengumuman 11 'hadiah rakyat' pada majlis itu adalah langkah kerajaan populis.

SAYA KOTAKAN JANJI

"Tidak, tidak... kalau saya populis hari pertama saya sudah umumkan (perkara seumpama itu)," kata Najib sambil menambah, "saya kotakan apa yang dijanjikan."

Oleh itu, jelas Najib, sepanjang 100 hari yang lalu beliau telah melakukan tinjauan selain mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk menerima pandangan orang ramai yang mengunjungi blognya.

"Saya kumpul, (selepas itu) baru saya umumkan 11 perkara itu (semalam)," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Semalam beliau mengumumkan penubuhan Amanah Saham Satu Malaysia (AS 1Malaysia) dengan 10 bilion unit sempena 100 hari pertama beliau menyandang jawatan Perdana Menteri yang keenam.

Selain itu, Najib juga mengumumkan bahawa pengguna lebuh raya 80 kali dan lebih dalam sebulan akan mendapat potongan 20 peratus berkuat kuasa 1 September ini.

SATU PENGGAL

Dalam wawancara malam ini, Najib juga ditanya pendekatan atau bidang yang tidak dapat dilaksanakan oleh beliau sepanjang 100 hari pertama.

"Ya lah, banyak lagi sebenarnya... baru 100 hari," katanya.

Najib juga berkata, keberkesanan dan prestasi kerajaan tidak boleh diukur dalam 100 hari semata-mata.

"Maknanya, ia hanya boleh diukur dalam satu penggal," ujar beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno.

Bagaimanapun katanya, apa yang dilakukan oleh beliau sekarang adalah satu titik permulaan dengan asas yang sudah dibina dan momentum telah dilonjakkan untuk pembinaan negara yang lebih baik.

"Sekarang kita teruskan usaha susulan agar dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini (lagi), kita dapat buktikan bahawa kerajaan mampu mengisi harapan dan keyakinan rakyat," katanya.

Perdana Menteri juga ditanya mengenai enam bidang keberhasilan utama nasional yang turut diumumkan semalam.

Keenam-enamnya ialah mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan menambah baik pengangkutan awam sebagai jangka masa sederhana.

PENDAPATAN TINGGI

Oleh itu, kata beliau, pendapatan rakyat pada umumnya termasuk gaji dan sebagainya tidak begitu tinggi dan sepatutnya dinaikkan lagi.

"Sebab itu saya mengajukan hasrat kita untuk jadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

"Bila jadi negara berpendapatan tinggi, baru kita boleh menjuruskan rakyat Malaysia dalam bidang-bidang yang ada nilai tinggi.

"Nilai-nilai tinggi bererti bahawa pendapatan kita bertambah... begitu juga dalam bidang pertanian, kalau kita minta orang kita menceburi bidang pertanian kita mesti menjuruskan mereka, membawa mereka ke dalam bidang pertanian yang ada nilai tinggi.

"Jadi pendapatan mereka adalah lebih memuaskan daripada keadaan ini," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan