PPSMI: Kerajaan hormati pandangan ramai tapi keputusan muktamad

Diterbitkan: Sabtu, 11 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menghormati segala pandangan termasuk pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), namun keputusan yang diumumkan Rabu lalu adalah muktamad.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemansuhan PPSMI yang berkuat kuasa 2012 dibuat berdasarkan kajian mendalam termasuk menjalankan kaedah pensampelan di seluruh negara.

"Bahan-bahan yang kita terima membuktikan perubahan dasar perlu dibuat.

"Apa pun, kalau ada pihak yang memberi pandangan berbeza, kita hormati.

"Bagaimanapun keputusan yang dibuat (pemansuhan PPSMI) adalah muktamad," kata beliau selepas melancarkan program 1Malaysia peringkat Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tinjauan yang dijalankan melalui blog Dr. Mahathir yang menunjukkan 80 peratus daripada 26,000 pengunjung blog yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu membantah pemansuhan PPSMI.

PERJELAS

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya akan memperjelaskan dengan lebih terperinci komponen-komponen baru untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris termasuk pengambilan guru-guru terlatih, pengukuhan tatabahasa, kesusasteraan bahasa Inggeris dan penambahan waktu mempelajari bahasa tersebut yang hampir mencapai hampir 100 peratus di peringkat sekolah rendah.

"Kita lakukan secara perlahan-lahan, jangan mengejut supaya kanak-kanak dalam kohort yang menghadapi zaman transisi ini diberi ruang supaya dia boleh selesaikan, kemudian baru kita masuk yang baru," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, dalam usaha melaksanakan dasar baru mengajar dan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, tumpuan akan turut diberikan kepada penterjemahan perbendaharaan kata merangkumi bidang sains, teknologi dan matematik.

Beliau berkata, kos yang besar diperlukan untuk melaksanakan dasar itu dan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan Negara akan turut diperkasa.

"Kabinet ada putuskan supaya perkara ini diberi tumpuan dan proses terjemahan dipercepatkan serta pengurusan yang ada hubung kait dengan sains dan teknologi dipertingkat.

"Mungkin juga buku-buku yang akan digunakan sebagai bahan rujukan akan diterjemahkan.

"Itu langkah-langkah susulan pelaksanaan dasar baru ini," katanya.

1MALAYSIA

Sementara itu, Muhyiddin berkata, konsep 1Malaysia di peringkat sekolah akan dilaksanakan melalui kegiatan kokurikulum.

"Pastinya kita mahu supaya anak-anak di sekolah memahami dan menghayati betapa pentingnya perpaduan antara kaum dan budaya di negara ini.

"Usaha ini dibuat untuk mendokong pimpinan kerajaan supaya menerusi sistem pelajaran Malaysia, konsep perpaduan negara akan diberikan penekanan yang lebih, maka program yang dianjurkan lebih kepada bentuk kokurikulum," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan