Penilaian Tun M: Najib ada positif, ada negatif

Diterbitkan: Sabtu, 11 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan peserta program Wacana Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan daripada Perspektif 1Malaysia di PWTC hari ini. --fotoTHESTAR, AZMAN GHANI
Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan peserta program Wacana Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan daripada Perspektif 1Malaysia di PWTC hari ini. --fotoTHESTAR, AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun sering mengkritik kerajaan tetapi ini tidak bermakna beliau tidak menyokong kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, kritikan yang dilemparkan adalah berdasarkan kepada pandangan peribadi dan beliau berhak untuk mempunyai pandangan terhadap sesuatu isu.

"Setakat ini banyak perkara yang saya tidak bersetuju. Itu pendapat peribadi saya, saya berhak untuk mempunyai pandangan saya sendiri, tetapi ini tidak bermakna saya tidak menyokong kerajaan," katanya ketika ditanya mengenai pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena 100 hari pentadbirannya.

Mengulas perkara itu, Dr. Mahathir yang ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada majlis Wacana Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan daripada Perspektif 1Malaysia, di sini, semalam bagaimanapun berkata, beliau masih belum boleh memberi nilai kepada pentadbiran Najib.

"Saya belum melakukan kajian lagi... bukan satu kajian saintifik," katanya.

Diminta mengulas perkara positif yang dilaksanakan Najib, Dr. Mahathir berkata, antara perkara yang boleh dipuji ialah pendekatan Perdana Menteri keenam itu turun ke akar umbi melakukan tinjauan mesra dan bertemu lebih ramai masyarakat di peringkat bawahan.

"Ada juga (positif), dia (Najib) jumpa orang lebih ramai, tidak tidur, ini semua positif," katanya.

Mengenai perkara negatif, Dr. Mahathir berkata, antaranya mengenai cadangan jambatan ketiga ke Singapura dan kegagalan kerajaan untuk menangani isu rasuah dalam kerajaan apabila masih ada beberapa individu yang didapati bersalah melakukan rasuah masih memegang jawatan dalam Kabinet.

Menyentuh isu lain, Dr. Mahathir berkata. dakwaan sesetengah pihak bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan menghalang kepada perkembangan ekonomi rakyat negara ini adalah tidak tepat.

Dr. Mahathir, yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, dasar yang diperkenalkan sejak 38 tahun lepas bukan penyebab kelembapan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya faktor keterbukaan beberapa negara lain terhadap pelaburan langsung asing (FDI) dan kelembapan ekonomi dunia mempengaruhi perkembangan ekonomi tempatan.

Mengenai satu isu berbeza, Dr. Mahathir mengakui kontroversi rumah agam milik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo boleh menjejaskan moral Umno dan Barisan Nasional.

Sehubungan itu beliau menggesa Dr. Mohamad Khir supaya menjelaskan punca pembiayaan rumah beliau yang dikatakan bernilai RM24 juta itu.

"Beliau perlu menjelaskan di mana beliau memperoleh wang... tak boleh lah kata RM3 juta. Saya pun ada rumah juga, rumah saya RM1 juta saya belanja di The Mines, rumah dia berapa kali besar daripada (rumah) saya," katanya.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri keempat itu yang menyambut ulang tahun ke-84 kelahiran beliau semalam sempat berkongsi harapan:

"Hajat saya ialah melihat Malaysia di mana rakyatnya berfikir bahawa mereka adalah warga Malaysia dan tidak dikaitkan dengan mana-mana tempat lain."

Sementara itu bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas menjelang genap 100 hari pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, melahirkan rasa syukur kerana kepimpinan Najib semakin diterima oleh rakyat.

"Alhamdulillah kerana sokongan yang diberikan kepadanya semakin bertambah daripada 42 peratus sebelum mengangkat sumpah kepada 65 peratus (berdasarkan kepada kaji selidik Merdeka Centre iaitu sebuah pusat penyelidikan tempatan).

"Ini bermakna beliau berjaya memimpin negara dengan dasar-dasar yang diumumkan olehnya dari semasa ke semasa.

"Selepas ini dasar-dasar tersebut akan mendapat perhatian rakyat daripada segi pelaksanaannya. Saya harap ia akan dapat dipertahankan," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan