Mansuh PPSMI tidak abai usaha mantapkan bahasa Inggeris

Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, perubahan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia tidak menyimpang daripada matlamat untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara.

Najib berkata, matlamat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini masih sama walaupun kaedah yang digunakan untuk tujuan itu berbeza selepas Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan berkuat kuasa 2012.

Beliau berkata, antara kaedah yang akan dilaksanakan ke arah usaha pemantapan itu adalah penambahan waktu pembelajaran, penambahan guru bahasa Inggeris, memperkenal makmal bahasa tersebut dan pengenalan subjek kesusasteraan Inggeris.

"Perbezaannya cuma kaedah sahaja...hendak sampai kepada objektif, kita memikirkan tambahan waktu dalam bahasa Inggeris dan pengenalan kesusasteraan Inggeris adalah lebih baik daripada mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan Ke-9 di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Kementerian Pelajaran semalam berhubung pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuat kuasa pada 2012.

Selain itu, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Mengulas lanjut, Najib berkata, jika keadaan mengizinkan, kerajaan mungkin akan mewajibkan kelulusan dalam bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ini semua menggambarkan kerajaan amat prihatin tentang betapa pentingnya penguasaan bahasa Inggeris yang amat baik untuk menentukan kita boleh bersaing dalam era globalisasi," katanya.

Berhubung mengenai gesaan supaya PPSMI patut dijadikan pilihan, Najib berkata, hal itu perlu dirujuk kepada Kementerian Pelajaran terlebih dahulu untuk dinilai.

Najib berkata, setakat ini, hanya kira-kira lapan peratus guru yang yakin untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan ia bukan sesuatu yang menjadi hasrat kerajaan.

Katanya, isu pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia akan menjejaskan kualiti tidak berbangkit kerana negara mampu melahirkan doktor dan golongan profesional lain walaupun kedua-dua subjek itu dipelajari dalam bahasa Malaysia sebelum ini.

Ketika ditanya mengenai kos melaksanakan dasar baru itu, Najib berkata, hal itu masih belum diketahui.

"Tapi kami masih menggunakan beberapa perisian dan perkakasan itu dan bukannya ditinggalkan sama sekali.

"Kami sedang berusaha untuk memastikan proses perubahan dasar itu berjalan lancar," katanya.

Berhubung reaksi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedih berikutan keputusan pemansuhan PPSMI yang diilhamkan beliau enam tahun lalu, Najib berkata, matlamat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris masih sama, cuma perbezaan adalah daripada segi kaedah dan pelaksanaan.

Sementara itu, Najib turut mengumumkan penjenamaan semula SMIDEC yang dikenali sebagai SME Corporation (SME Corp) Malaysia yang dijangka mula beroperasi Ogos ini bertujuan membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya saing dalam menangani krisis ekonomi.

Katanya, SME Corp akan bertindak sebagai pusat maklumat dan rujukan setempat untuk PKS, menyelaras data dan program berkenaan dengan PKS merentasi semua sektor ekonomi serta pengurusan data, maklumat dan menjalankan kajian berhubung dengan PKS.

"SME Corp akan menjadi sebuah pusat rujukan yang membolehkan sesiapa pun untuk mendapatkan bantuan termasuk SME Bank boleh merujuk syarikat berkenaaan (SME Corp)," katanya.

Berhubung laporan akhbar dari Korea Selatan yang mengaitkan bank di Malaysia dengan transaksi pembayaran penjualan senjata dari Korea Utara ke Myanmar, Najib berkata, kerajaan akan melihat dengan lebih mendalam isu tersebut.

Katanya, negara tidak mahu dituduh melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan norma-norma antarabangsa.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan