Pemansuhan PPSMI jimat kos RM40 juta

Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang berkuat kuasa 2012, mampu menjimatkan perbelanjaan kira-kira RM40 juta setahun, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi.

Beliau berkata sebelum ini, perbelanjaan itu adalah untuk menampung elaun tambahan atau Bayaran Insentif Subjek Penting (BISP) yang diberikan kepada guru-guru mengajar subjek Sains dan Matematik berdasarkan kelulusan, iaitu lima peratus tambahan daripada gaji untuk guru berkelulusan ijazah manakala 10 peratus pula untuk mereka berkelulusan diploma.

Ia diberikan kepada guru-guru untuk membeli buku atau menghadiri kelas tuisyen bahasa Inggeris untuk meningkatkan kemahiran dalam bahasa Inggeris tetapi guru-guru masih tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Beliau diminta menjelaskan lanjut mengenai pengumuman pemansuhan PPSMI oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran semalam. PPSMI juga diganti dengan strategi memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Dr Puad berkata adalah lebih baik peruntukan itu disalurkan kepada proses penterjemahan buku-buku rujukan ke dalam bahasa Melayu supaya ia dapat memperkasakan pelajar dalam pembelajaran mereka.

"Kita juga mempunyai keupayaan dan pakar-pakar di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang mampu berbuat demikian," katanya.

Setakat ini, terdapat 61,040 guru sekolah rendah dan 26,389 guru sekolah menengah yang mengajar subjek Matematik dan 46,946 guru sekolah rendah dan 25,781 guru sekolah menengah yang mengajar subjek Sains di seluruh negara.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti ke-47 di Seri Kembangan dekat sini, Dr Puad berkata dalam mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, kerajaan memperuntukkan hampir RM5 bilion selain memerlukan 13,933 guru subjek itu.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran akan mengambil langkah memastikan guru-guru untuk mengajar subjek itu mencukupi khususnya di pedalaman termasuk menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi swasta untuk menggunakan khidmat siswazahnya menjalankan latihan amali di sekolah-sekolah.

Sementara itu, Pengerusi ITNM Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata ITNM menyambut baik keputusan memansuhkan PPSMI dan berharap polemik mengenainya dihentikan.

Beliau berkata Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman Jepun, Korea, Jerman, Perancis, China dan negara-negara Scandinavia yang menggunakan bahasa pertama atau bahasa nasional untuk menyampaikan ilmu di peringkat asas terutamanya Sains dan Matematik.

Dr Wan Hashim berkata negara-negara itu masih mampu memacu ke hadapan dengan pembangunan dan kemajuan dalam semua bidang.

Beliau juga berkata ITNM akan meneruskan usaha dalam menyediakan keperluan bagi melengkapkan prasarana khususnya untuk kemudahan pembelajaran di semua peringkat akademik.

Di KOTA KINABALU, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri pula berkata tindakan kerajaan menilai semula kaedah menerapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dengan memperkenalkan unsur baru yang lebih praktikal dan berkesan merupakan tindakan bijaksana dan melambangkan fleksibiliti.

"Dasar kerajaan bukanlah sesuatu yang statik dan tidak boleh diubah. Kerajaan akan sentiasa sensitif kepada pandangan pelbagai pihak dan perubahan dibuat setelah mengambil kira penilaian dan kajian objektif terhadap isu tertentu tersebut.

"Bagaimanapun, usaha memperkukuhkan bahasa Inggeris sebagai bahasa lingua franca ilmu tidak patut diabaikan sama sekali kerana dalam dunia globalisasi masa kini, kegagalan menguasai bahasa ilmu akan membataskan penguasaan ilmu dan mengehadkan keupayaan khususnya pelajar luar bandar bersaing," katanya kepada Bernama.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Sabah Musliati Moslimin pula berkata pemansuhan PPSMI wajar dibuat jika pelaksanaannya gagal mencapai matlamat.

Beliau yakin keputusan itu dibuat setelah kerajaan meneliti PPSMI daripada pelbagai aspek akademik dan mengkajinya secara mendalam.

Di KOTA BAHARU, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambut baik keputusan Kabinet menghapuskan PPSMI dan bersetuju dengan strategi baru kerajaan Pusat untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Kabinet yang menghapuskan PPMSI, tapi sepatutnya dah lama (laksanakan)," kata Mursyidul Am PAS itu kepada pemberita di pejabatnya.

Menurutnya beliau mahu bahasa Melayu tetap dimartabatkan sebagai bahasa ibunda manakala bahasa Inggeris tetap menjadi asas rujukan menerusi kaedah pembelajaran melalui subjek tertentu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan