PPSMI: Muhyiddin jelaskan Mahathir perubahan dasar

Diterbitkan: Rabu, 8 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara umumnya menerima hakikat bahawa dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu diubah.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau sebelum ini telah mengadakan perbincangan lebih tiga jam bersama Dr. Mahathir bagi menjelaskan mengenai kesukaran yang dihadapi oleh banyak pihak termasuk keupayaan guru untuk menjayakan dasar yang diperkenalkan beliau itu.

"Saya berkesempatan untuk memberi taklimat kepada Tun sebagai menghormati bahawa beliaulah pencetus idea PPSMI.

"Segalanya telahpun kita jelaskan, saya dan beberapa pegawai telah menunjukkan tentang apakah kemajuan ataupun masalah yang dihadapi oleh pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan misi beliau.

"Sebenarnya sukar untuk diteruskan...tapi umumnya beliau menerima hakikat ini," katanya dalam sidang media khas di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuat kuasa pada 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 sewaktu Dr. Mahathir masih menjadi Perdana Menteri dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata kerajaan mengambil kira pandangan Dr Mahathir dalam memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris termasuk menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi serta dengan mewujudkan makmal bahasa.

"Tun juga bagi pandangan supaya kita guna ICT yang lebih interaktif untuk menguasai bahasa Inggeri dan menyediakan makmal bahasa...itu pandangan yang kita terima," katanya.

Sementara itu Muhyiddin menafikan keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI adalah berdasarkan pertimbangan politik.

Jelasnya kerajaan membuat keputusan itu berdasarkan kepada kajian saintifik terhadap perkara tersebut.

"Ia dibuat bukan kerana faktor politik atau pilihan raya kecil Manek Urai. Ia dibuat kerana kepentingan negara.

"Keputusan kerajaan itu sejajar dengan kajian Unesco yang menunjukkan adalah lebih mudah pelajar menguasai ilmu di peringkat awal persekolahan dengan menggunakan bahasa ibunda," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan