PPSMI: GMP sifatkan "selera rakyat" diterima kerajaan

Diterbitkan: Rabu, 8 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menyifatkan pihak kerajaan memahami "selera rakyat" apabila mengambil langkah memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berkuat kuasa 2012.

Pengerusi jawatankuasa induk GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan itu dengan hati yang terbuka kerana matlamat yang diperjuangkan pertubuhan itu akahirnya menjadi kenyataan.

"Bagus... bagus langkah kerajaan ini. Nampaknya kerajaan mengikut selera rakyat yang mahukan PPSMI ini dihapuskan," katanya kepada mStar Online.

Kerajaan hari ini mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuat kuasa pada 2012.

Malah pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Ditanya pandangannya sama ada langkah kerajaan menetapkan tahun 2012 untuk menguatkuasakan pemansuhan itu memakan masa terlalu lama, Hassan berkata, beliau bersetuju sepenuhnya tindakan kerajaan itu.

"Kita tak perlu terbu-buru, apa yang kita inginkan ialagh agar PPSMI dimansuhkan... sekarang ia telah pun dimansuhkan.

"Janganlah tergesa-gesa kerana ada banyak benda yang perlu diselasaikan sebelum ia boleh dilaksanakan sepenihnya.

"Kita faham masalah dari segi buku teks, nasib pelaja-pelajar yang sudah pun mengikuti kohort PPSMI dan banyak perkara lagi... kita faham," katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai nasib GMP selepas ini apabila PPSMI telah dimansuhkan, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat mereka akan datang.

"Kita tahu selepas ini GMP sudah tidak relevan lagi, justeru ada pihak yang cadangkan supaya jangan dimansuhkan GMP seperti PPSMI.

"Mereka cadangkan supaya GMP ditukar nama dan fungsinya ialah untuk memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

"Namun kita belum tahu lagi kedudukan sebenarnya, nanti kita akan bincangkan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan