Kabinet akan buat keputusan kedudukan PPSMI hari ini

Diterbitkan: Rabu, 8 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PAGOH: Kabinet akan membuat keputusan muktamad berhubung kedudukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hari ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata Kabinet akan membuat keputusan itu selepas beliau membentangkan hasil pelbagai kajian terperinci dan menyeluruh mengenai kedudukan PPSMI kepada Jemaah Menteri.

"Saya telah pun mengemukakan memorandum kepada Kabinet berkenaan kedudukan PPSMI, apa yang telah dilaksanakan dan bagaimana kedudukan penguasaan bahasa Inggeris dan kedudukan mata pelajaran Sains dan Matematik sejak kita melaksanakan sistem PPSMI ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Gerak Bakti Ujian Pencapain Sekolah Rendah (UPSR) Amanah Raya Berhad di Dewan Seri Pekembar di sini, Selasa.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau akan turut membentangkan beberapa cadangan dan perakuan bagaimana kerajaan hendak terus memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkasa penggunaan bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah rendah dan menengah.

"Saya sebutkan ini (bentang) selepas kita menemui pelbagai kumpulan yang berkepentingan dalam soal pendidikan. Banyak badan pertubuhan yang kita hubungi, mengadakan perbincangan, mengadakan meja bulat, pertemuan dan sebagainya," katanya.

Muhyidin berkata kerajaan akan membuat keputusan mengenai kedudukan PPSMI tidak berdasarkan kepada desakan dan tekanan daripada mana-mana pihak.

"Saya kira kita sudah dapat gambaran yang jelas. Kita tidak membuat keputusan ini terburu-buru, kita tidak membuat keputusan ini atas desakan dan tekanan mana-mana pihak.

"Kita akan buat keputusan berdasarkan kepentingan pelajar dan mustahaknya kita pertingkatkan sistem pendidikan dalam negara kita ini," katanya.

Ditanya adakah keputusan Kabinet itu akan menjadi satu dasar, Muhyiddin berkata apa pun keputusan pastinya merupakan satu dasar sama ada kerajaan hendak teruskan atau membuat satu keputusan baru cuma beliau tidak berhak untuk mengumumkannya sehingga Kabinet membuat keputusan secara muktamad.

Beliau berkata banyak pihak sedang menunggu keputusan daripada kerajaan mengenai kedudukan PPSMI itu.

Beliau berkata antara pihak yang ditemui untuk mendapatkan pendapat dan pandangan mengenai PPSMI ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan anggota Majlis Tertinggi Umno.

Sementara itu, Projek Gerak Bakti UPSR Amanah Raya Berhad adalah projek membekalkan akhbar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bersama sisipan DIDIK kepada sekolah di luar bandar, pada setiap Isnin.

Projek itu melibatkan kos keseluruhan lebih RM500,000 dan lebih 16,000 pelajar berbilang bangsa akan mendapat manfaat.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Pengerusi Kumpulan Amanah Raya Berhad Datuk Dusuki Ahmad, Pengerusi Yayasan Gerak Bakti Kebangsaan Khairy Jamaluddin. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan