Bekas anggota MPSP mohon maaf, digantung perkhidmatan sebulan

Diterbitkan: Rabu, 8 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Johari Kassim, yang dipecat daripada menjadi anggota Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) hari ini memohon maaf secara terbuka di atas kenyataannya terhadap kerajaan negeri dalam media masa barubaru ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil langkah membatalkan keputusan memecat Johari, sebaliknya hanya menggantung perkhidmatan beliau selama sebulan.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman selepas Johari membuat permohonan maaf itu, pada sidang akhbar yang sama.

"Parti(Parti Keadilan Rakyat) akan tulis surat untuk meminta Johari dilantik semula dan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat exco secepat mungkin," katanya.

Mansor berkata keputusan itu dibuat selepas pemimpin PKR negeri mengadakan perbincangan dengan Lim semalam.

Sementara itu, Johari berkata masalah itu tidak akan berlaku jika sebarang keputusan yang dibuat melibatkan pentadbiran bersama dibincang dan dipersetujui oleh semua parti dalam pakatan pembangkang.

"Saya berharap kemelut peristiwa ini akan berakhir dan jalinan hubungan baik, adil dan telus akan terbentuk pada masa akan datang.

"Saya berharap semua pimpinan dalam pakatan pembangkang menghentikan sebarang serangan melalui media dan segala permasalahan perlu diselesaikan melalui meja rundingan Majlis Pakatan Rakyat," katanya.

Johari dipecat daripada menjadi anggota majlis pada 29 Jun lepas kerana mengetuai usaha memulaukan upacara pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd Jait, pada 4 Jun lepas.

Tindakan Johari itu sebagai membantah tindakan kerajaan negeri yang dikatakan tidak berunding dengan PKR berhubung pelantikan Mokhtar.BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan