Timbalan Presiden PAS tidak dibenar berkempen di Manek Urai?

Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA KRAI: Ketidakhadiran Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa di Manek Urai untuk berkempen turut menjadi bahan perbualan di sebalik kempen pilihan raya kecil yang bermula semalam.

Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS DUN Manek Urai, Abdul Fatah Harun berkata, mereka tidak pernah meminggirkan Nasharudin daripada senarai penceramah di Manek Urai.

“Kita buat jadual ceramah hari-hari. Kalau beliau (Nasharudin) datang baru kita masukkan dalam jadual.

“Mungkin juga dia (Nasharudin) segan nak mari,” kata beliau ketika diminta mengulas mengenai ketiadaan nama Nasharudin sebagai penceramah setakat ini.

Nasharudin juga tidak hadir pada sesi penamaan calon pagi semalam.

Fatah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tuku berkata, Manek Urai sebuah kawasan yang ‘istimewa’ berbanding tempat-tempat lain.

“Manek Urai ini ramai orang beragama dan dipandang tinggi jadi ‘molek’ la (bagus) untuk letak orang agama di sini (berkempen),” katanya pemberita di Markas Induk PAS hari ini.

Dalam tiga ceramah perdana PAS malam ini, ketiga-tiga Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Tuan Ibrahim Tuan Man dijemput sebagai penceramah.

“Kita tak ada banyak ceramah besar lepas ini pun, ceramah Presiden dan Naib Presiden kita buat ceramah kelompok sahaja,” katanya.

Selain mereka, bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa akan turut menyampaikan ceramahnya di Chuchoh Puteri bersama-sama pemimpin kanan PAS dan Parti Keadilan Rakyat iaitu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya adakah Nasharudin menjadi liabiliti kepada PAS ekoran kemelut politik yang melandanya dan Nik Aziz, Fatah berkata: “Tak ada la...”

Bulan lalu, Nasharuddin dikecam hebat oleh Nik Aziz kerana mengeluarkan kenyataan yang menyokong kerjasama dengan Umno.

Ekoran isu kerajaan perpaduan, Nik Aziz menggesa Nasharudin supaya keluar PAS dan menyertai Umno.

Namun pada 23 Jun lalu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menarik balik kenyataan yang dilemparkan terhadap Nasharudin.

Fatah turut ditanya mengenai sebab mengapa poster Presiden dan Timbalan Presiden tidak digantung sepanjang jalan-jalan di sepanjang kawasan Manek Urai.

Jelas beliau, hanya poster Mursyidul Am PAS digantung di jalan-jalan utama kerana tokoh agama itu lebih dekat dengan penduduk di sini.

“Poster Presiden Timbalan Presiden memang tak ada kat jalan-jalan utama, tapi bila kita masuk ke kampung-kampung gambar Presiden ada.

“Kat sini kita ada pemimpin agama (Nik Aziz), Presiden lebih kepada politik itu bezanya,” katanya.

Selain Nasharudin, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi tumpuan kerana melontarkan idea kerajaan perpaduan dengan Umno-BN.

Mengenai dakwaan PAS memberi habuan RM30 kepada pengundi di Manek Urai untuk mengundi parti itu, Fatah berkata: “Itu biasala… Orang yang keluarkan perkataan begitu cuba menuduh apa yang dia buat buat (beri duit kepada pengundi). “PAS tak mampu bagi duit RM30 terlalu ramai nak bayar pekerja tak ada apatah lagi nak bayar pengundi."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan