Kerajaan amal pendekatan terbuka terhadap media baru

Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengamalkan pendekatan terbuka terhadap media baru dengan mengadakan perjumpaan dan dialog bersama bloggers dalam usaha menyampaikan segala dasar kerajaan.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kerajaan sentiasa menekankan segala dasar kerajaan pada setiap perjumpaan bersama bloggers serta mengingatkan mereka berhubung Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1958 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

"Antara pendekatan yang dilaksanakan kerajaan adalah mengadakan perjumpaan dan dialog secara berkala dengan bloggers dalam menyampaikan dasar kerajaan termasuk berkaitan undang-undang negara supaya setiap tindakan mereka selari dengan dasar negara terutama dalam aspek keselamatan negara dan keharmonian kaum," katanya semasa menjawab soalan Senator Shamsudin Mehat pada Persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Rais berkata kementerian melalui badan pengawalseliaan Kandungan Kendiri di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut melaksanakan pelbagai program seperti seminar dan bengkel.

"Seminar dan bengkel itu adalah berhubung isu-isu kepenggunaan dan keselamatan siber di peringkat negeri, terbitan rencana di akhbar tempatan, wawancara di media elektronik dan iklan di media bagi memupuk kesedaran mengenai penggunaan internet agar ia digunakan secara positif," katanya.

Beliau berkata blog merupakan medium baru untuk berkomunikasi bagi golongan muda dan oleh itu kerajaan turut menggalakkan rakyat menggunakan internet bagi memperluas pencarian maklumat dan pengetahuan sekaligus meningkatkan langganan khidmat jalur-lebar di Malaysia. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan