2 ADUN Bebas Perak nafi 'rujuk semula' PKR

Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Osman Jailu (kanan) dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi menafikan desas-desus mereka akan kembali ke pangkuan Pakatan Rakyat.
ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Osman Jailu (kanan) dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi menafikan desas-desus mereka akan kembali ke pangkuan Pakatan Rakyat.

PETALING JAYA: ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Osman Jailu mendakwa "mengarut". ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi pula menyifatkan satu "pembohongan semata-mata."

Kedua-dua ADUN Bebas Perak itu menafikan sudah mula mengambil langkah untuk kembali menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika dihubungi mStar Online, Osman dengan cepat menjawab "itu mengarut semata-mata" sambil diiringi ketawa besar.

"Tidak benar, tidak benar (saya akan kembali kepada PKR)," kata Osman yang berada di kawasannya di Changkat Jering, Perak ketika dihubungi tengah hari tadi.

Beliau tidak menafikan dihujani panggilan daripada rakan-rakannya ekoran tulisan blog dan laporan akhbar bahasa Cina bahawa beliau akan kembali ke pangkuan PKR dan Pakatan Rakyat.

Laporan akhbar Cina tempatan menyebut Osman telah pun mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Besar Perak, Ir. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di ibu negara baru-baru ini.

Osman mengakui pertemuan itu telah berlangsung tanpa dirancang sama sekali.

"Kami bertemu secara kebetulan. Saya sedang membawa pakaian saya ke kereta saya dan Nizar ada dalam kenderaannya di luar hotel, lalu menegur saya.

"Sebagai bekas ketua (Menteri Besar Perak), saya pun balas teguran dan kami berbual ringkas... itu sahaja," kata beliau menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa mengadakan perbincangan untuk kembali ke PKR, anggota komponen Pakatan.

Osman dan Jamaluddin merupakan bekas Anggota Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Perak. Mereka keluar PKR awal Februari lalu, sekali gus membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Pakatan.

Ketika itu, Nizar adalah Menteri Besar.

Osman dan Jamaluddin kini adalah antara dua daripada tiga ADUN Bebas di Perak, selain daripada ADUN Jelapang, Hee Yit Foong yang dahulunya dalam DAP.

"Semalam saya ada menghubungi Menteri Besar (Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir) mengulangi pendirian saya bahawa saya akan terus menyokong BN (atas kapasiti sebagai ADUN) Bebas.

"Datuk Seri Zambry minta saya tidak layan laporan-laporan itu... ini politik kotor... saya berharap mereka tidak berbohong, jangan buat kenyataan bohong," katanya.

Sementara rakannya, Jamaluddin juga menafikan beliau telah memulakan langkah untuk menyertai kembali PKR.

"Saya masih ADUN Bebas," katanya.

"Kalau saya hendak keluar, biar saya sendiri yang buat kenyataan itu, saya tidak mahu orang lain buat kenyataan bagi pihak saya.

"Dulu (awal Februari lalu) bila saya hendak keluar (PKR) dan menyertai BN dan menemui Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, saya sendiri yang membuat kenyataan itu, bukan Najib," katanya.

Jamaluddin juga menjelaskan, beliau ada menerima panggilan telefon daripada Nizar pada pukul 12.09 tengah malam Selasa lalu.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menjawab panggilan telefon tersebut.

"Bukan saya hubungi Nizar, Nizar yang hubungi saya... pukul 12.09 tengah malam, ini orang tidak tahu. Saya tak jawab panggilan Nizar, saya tak mahu dengar suara beliau," katanya.

Beliau juga meminta pemimpin-pemimpin Pakatan tidak menyebarkan "maklumat tidak benar" kononnya akan kembali kepada PKR.

"Orang BN sendiri pun tidak kisah, mengapa mereka (Pakatan Rakyat) hendak buat kecoh," kata lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan