Manek Urai: Hanya 2 calon serah borang

Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA KRAI: Hanya dua calon masing-masing wakil Barisan Nasional (BN) dan PAS menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan.

Sehingga pukul 10 pagi tadi iaitu apabila tempoh untuk mengemukakan borang penamaan calon berakhir, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin hanya menerima borang daripada Tuan Aziz Tuan Mat, 39, (BN) dan Mohd. Fauzi Abdullah, 50, (PAS).

Kini proses pameran dan bantahan pencalonan berlangsung. Ia akan berakhir 11 pagi dan disusuli pengumuman mengenai status calon sekitar 11.30 pagi nanti.

Proses penamaan calon berlangsung di Dewan Petra, Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1 di sini.

Terdahulu Tuan Aziz tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Fauzi pula tiba dengan diiringi Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob pada 22 Mei lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi menewaskan calon BN, Mohamed Zulkifli Omar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Julai sebagai tarikh pengundian jika ada pertandingan.

DUN MANEK URAI: PERJALANAN PENAMAAN CALON

BERITA TERDAHULU

KUALA KRAI: Proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan sedang berlangsung dengan setakat 9.30 pagi tadi hanya dua calon yang mengemukakan borang penamaan calon masing-masing.

Mereka merupakan wakil Umno-BN dan PAS-Pakatan Rakyat.

Calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat dan calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah tiba awal dan menyerahkan borang masing-masing tidak sampai 30 minit selepas proses penamaan calon dibuka.

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai merupakan pilihan raya kecil ketujuh sejak berlangsungnya pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

DUN MANEK URAI: PERJALANAN PENAMAAN CALON

BERITA TERDAHULU

KUALA KRAI: Proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan berlangsung pagi ini dengan diramalkan persaingan satu penjuru antara calon Umno-BN dan PAS-Pakatan Rakyat.

Pusat penamaan calon akan berlangsung di Dewan Petra, Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1 di sini bermula pukul 9 pagi.

Ia juga merupakan pusat penjumlahan rasmi undi kelak.

BN menurunkan bekas Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat manakala PAS diwakili Mohd. Fauzi Abdullah.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya telah bersiap sedia untuk menguruskan proses penamaan calon pagi ini dari pelbagai sudut.

"Saya sifatkan inilah masa yang betul-betul kritikal bagi kedua-dua parti (Umno dan PAS). PAS ingin membuktikan kepada semua mereka akan membuat yang terbaik untuk mempertahankan kerusi berkenaan (Manek Urai) manakala Umno pula akan cuba merampas kerusi itu dari PAS," katanya kepada mStar Online.

Aziz mejangkakan jumlah penyokong kedua-dua parti yang akan turut serta dalam perarakan ke pusat penamaan calon adalah tinggi.

"SPR akan bekerjasama dengan polis untuk mengawal keselamatan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

"Kita minta penyokong kedua-dua parti tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan mereka (penyokong) diminta berkumpul dalam jarak 100 meter antara satu sama lain dan akan ada pegawai polis dan berkawal di setiap tempat mereka berkumpul," katanya.

Ditanya mengenai bilangan calon yang kemungkinan menyerahkan borang penamaan calon hari ini, Aziz berkata: "Setakat ini hanya calon BN dan PAS yang telah beli borang. Namun kita tetap menyediakan tempat dan lebih banyak borang esok (hari ini)."

"Mana tahu akan ada calon Bebas yang akan bertanding, kita sentiasa bersedia," katanya.

Kerusi DUN Manek Urai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu. Jika ada pertandingan pengundian akan dijalankan 14 Julai.

Ismail atau Pak Su Wil memenangi kerusi berkenaan sebanyak lima kali.

DUN Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang mempunyai empat kerusi DUN - Guchil, Dabong dan Mengkebang dan Manek Urai.

DUN Manek Urai mempunyai 12,293 pemilih berdaftar iaitu 12,268 pemilih biasa manakala 25 lagi ialah pemilih pos.

Kelmarin Setiausaha SPR), Datuk Ngah Senik berkata, daripada 12,293 pengundi termasuk 25 pengundi pos di Manek Urai, golongan muda berjumlah 5,598 orang, merangkumi 45.5 peratus.

Golongan pertengahan berusia antara 40 dan 59 tahun berjumlah 4,511 orang (36.7 peratus) dan golongan pengundi berumur 60 hingga 79 tahun, 1,937 orang (15.7 peratus) serta golongan warga emas berusia 80 tahun ke atas berjumlah 247 orang merangkumi 2.01 peratus.

Seramai 12,197 pengundi adalah kaum Melayu merangkumi 99.2 peratus manakala pengundi Cina (56), India (28) dan lain-lain kaum 12 orang.

Sembilan pusat pengundian dibuka dengan jumlah saluran mengundi sebanyak 27 buah dan petugas pilihan raya seramai 497 orang.

Ngah berkata 1,200 keping pelekat khas kenderaan akan diagihkan kepada setiap parti bertanding pada 14 Julai ini.

Setiap kenderaan petugas parti yang bertanding akan diarahkan melekatkan tiga keping pelekat berwarna khas bersaiz A4 pada kenderaan mereka iaitu di sebelah hadapan, kiri dan kanan kenderaan.

"Warna pelekat itu berbeza dan akan diagihkan mengikut parti, iaitu biru bagi Barisan Nasional, hijau bagi PAS, dan oren parti bebas.

"Pelekat itu memudahkan kenderaan parti memasuki laluan ke pusat pengundian, menurun dan mengambil pengundi di lokasi yang ditentukan dan seterusnya mengurangkan masalah kesesakan lalulintas," kata beliau dipetik Bernama. Ngah juga mengingatkan setiap calon dan penyokong parti yang bertanding mematuhi peraturan ditetapkan SPR bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Ayda Jebat Kecewa Mainan Politik

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Kolumnis

iklan

Iklan