H1N1: 35 kes baru dikesan

Diterbitkan: Ahad, 5 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seramai 239 pesakit yang dijangkiti Influenza A (H1N1) di seluruh negara telah pulih dan dibenarkan keluar hospital manakala 87 pesakit lagi masih dirawat di hospital setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata, 28 pesakit masih dirawat di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur (17), Hospital Pulau Pinang (10), Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar (tiga), Hospital Tuanku Jaafar di Seremban (empat), Hospital Umum Sarawak (dua), Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh (satu) dan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu (tiga).

Selain itu, pesakit turut ditempatkan di Hospital Tawau (satu), Hospital Sultanah Aminah di Johor Baharu (lima), Hospital Batu Pahat (tiga), Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (enam), Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu (satu), Hospital Tengku Ampuan Afzan (satu), Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh (satu) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (satu), katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jumlah terkumpul kes H1N1 di Malaysia sehingga kini berjumlah 326 kes, iaitu 271 kes import dan 55 kes jangkitan tempatan.

Tiada kematian dilaporkan akibat jangkitan wabak itu.

"Jumlah kontak yang sedang menjalani kuarantin di rumah berjumlah 1,016 orang dan tiada di antara mereka mempunyai simptom (H1N1).

"Tiada sekolah lagi yang ditutup kerana jangkitan Influenza A (H1N1)," katanya.

Berhubung perkembangan terkini H1N1 di Malaysia, Dr. Mohd Ismail berkata terdapat 35 kes baru dikesan sehingga pukul 8 pagi ini melibatkan 24 kes import dan 11 kes jangkitan tempatan.

Daripada jumlah itu, 28 daripadanya melibatkan warganegara Malaysia manakala tujuh lagi membabitkan warganegara asing iaitu Indonesia (tiga), Australia (tiga) dan Singapura (satu).

Daripada 24 kes import itu, pesakit memberikan sejarah melawat negara terjejas dengan wabak H1N1 iaitu Jakarta (12), Melbourne (tiga), Manila (satu), Bangkok (lima), Singapura (dua) dan London (satu), katanya.

Beliau berkata, daripada 11 kes jangkitan tempatan melibatkan warga tempatan dengan lima adalah di kalangan peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik (APPC) yang diadakan di Pulau Pinang dari 27 hingga 30 Jun lepas.

"Sehingga hari ini, seramai 12 peserta daripada 165 peserta persidangan itu dijangkiti Influenza A (H1N1)," katanya.

Dr. Mohd Ismail sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang dilanda wabak itu kecuali jika betulbetul tidak dapat dielakkan kerana perjalanan ke negara berkenaan boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan H1N1 sama ada semasa di negara itu atau semasa dalam pesawat.

"Ini bukan sahaja akan menyebabkan anda jatuh sakit dan terpaksa dirawat di negara lain, tetapi anda dan keluarga anda akan dikuarantin jika terbabit dengan kes yang disahkan positif," katanya.

Mengenai situasi global, Dr. Mohd Ismail berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga pukul 8 pagi ini, jumlah terkumpul kes H1N1 berjumlah 90,218 dengan 383 kematian daripada 126 negara iaitu pertambahan sebanyak 9,189 kes dengan 43 kematian.

Lima negara baru yang terjejas adalah Bosnia dan Herzegovina (satu), Kepulauan Cook (satu), Netherlands, Aruba (lima), Palau (satu), dan Uganda (satu).

Lima negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi ialah Amerika Syarikat (6,185), Mexico (1,234), United Kingdom (1,089), Singapura (91) dan New Zealand (87). BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan