Keluar Pakatan: PKR mungkin menyusul langkah DAP di Kedah?

Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Keputusan DAP Kedah keluar daripada Pakatan Rakyat negeri itu dilihat sebagai tindakan terdesak bagi meluahkan rasa kecewa parti itu yang tidak dapat memainkan peranan berkesan dalam kerajaan negeri diterajui pemimpin PAS.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, beliau tidak hairan jika selepas ini PKR pula yang mahu meninggalkan Pakatan Rakyat negeri memandangkan mereka juga menghadapi nasib yang sama.

"Lepas ini, PKR pula akan tunjukkan belangnya kerana tidak tahan dengan cara PAS yang mengetepikan mereka dalam membuat keputusan.

"Kedua-dua parti itu hampir tiada peranan kerana walaupun Kedah dikuasai Pakatan tetapi sebenarnya hanya PAS yang memerintah," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Rabu lalu, DAP Kedah mengumumkan untuk keluar Pakatan kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran PAS di negeri itu, yang antara lain turut bertindak merobohkan satu-satunya pusat penyembelihan babi - di Alor Setar.

Mohamed Mustafa berkata, isu merobohkan pusat penyembelihan babi bukanlah punca sebenar DAP keluar Pakatan dan ia hanya dijadikana alasan untuk mereka meluahkan kemarahan.

"DAP ada agenda yang lebih besar. Mereka mahu peranan mereka diambil kira," katanya.

Pakatan - ikatan tidak formal pembangkang, yang dibentuk April 2008, dianggotai Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS.

DAP hanya mempunyai satu wakil rakyat dalam kerajaan negeri Kedah.

Ditanya sama ada tindakan DAP itu kemungkinan akan diikuti oleh mana-mana parti komponen Pakatan yang lain, Dr Mohamed Mustafa berkata:"Berapa lama (Datuk Seri) Anwar Ibrahim nak jadi pendamai?

"Sampai bila Anwar boleh sabar dan 'makan hati' untuk mendamaikan? Pakatan sebenarnya dikuasai DAP, Anwar ikut semua.

"PKR kini sudah semakin tipis dasar perjuangannya. Mereka sudah 'semakin DAP'," katanya.

Sementara itu, pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Faruk berkata, tindakan itu menunjukkan masalah dalam menjalin persefahaman antara DAP dan PAS di Kedah.

"Ketidaksefahaman ini bukan hanya wujud di Kedah tetapi juga di negeri-negeri lain kerana kedua-dua parti mempunyai struktur yang berbeza.

"DAP memperjuangkan 'Malaysian Malaysia' manakala PAS mahu menubuhkan negara Islam, jadi mereka sukar bekerjasama," katanya.

Azeeem juga menambah, tindakan DAP itu mungkin sudah dijangka banyak pihak rentetan pelbagai isu di Kedah yang tidak memuaskan hati mereka.

Bagaimanapun pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain menganggap keputusan DAP Kedah itu terlalu terburu-buru.

"Mereka marah dengan tindakan kerajaan negeri yang merobohkan pusat penyembelihan babi itu sedangkan apa yang dilakukan kerajaan negeri adalah mengikut undang-undang.

"Kerajaan negeri sudah lama memberi notis dan juga memberikan alternatif namun mereka tetap berdegil," katanya.

Sementara itu, pensyarah sains politik UKM, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman berkata, beliau percaya Pakatan akan menyelesaikan masalah itu kerana jika dibiarkan, ia akan menjadi ikutan komponen gabungan itu di negeri-negeri lain.

"Saya percaya, mereka akan berbincang untuk mengatasinya kerana jika tidak, ia akan membawa perpecahan yang lebih besar," katanya.

Beliau juga bersetuju tindakan DAP disebabkan mereka berasa tidak dihormati dalam Pakatan negeri itu.

"Hal ini dah lama...mereka rasa tidak begitu dihormati dan bagai melukut di tepi gantang," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan