Ahli Majlis MPPP dari PKR didakwa salah guna kuasa

Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Belumpun reda kemelut antara DAP dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung isu pelucutan jawatan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dari PKR, kini timbul pula dakwaan salah guna kuasa terhadap seorang Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari PKR.

Dakwaan itu dibuat oleh Anggota Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun atau lebih dikenali sebagai Jeff Ooi dari parti DAP berkaitan cubaan ahli majlis berkenaan membatalkan arahan berhenti kerja yang dikeluarkan MPPP terhadap sebuah syarikat pemaju perumahan di kawasan Jelutong.

Ketika bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau mendakwa ahli majlis itu berusaha melobi supaya perintah berhenti kerja itu ditarik balik bagi membolehkan pemaju meneruskan kerja pembinaan kondominium berkenaan.

Beliau mendakwa telah menerima banyak aduan dari penduduk di sekitar tapak projek pembinaan empat blok kondominium mewah itu yang menjalankan kerja melepasi had masa pukul 6 petang tanpa kebenaran MPPP, pembuangan saki baki konkrit ke dalam parit berhampiran serta pembakaran terbuka.

Katanya, beliau membuat aduan berhubung perkara berkenaan kepada MPPP, yang kemudiannya mengadakan mesyuarat dan mengeluarkan perintah berhenti kerja itu.

Menurut Jeff, perintah berhenti kerja itu dikeluarkan oleh MPPP pada 26 Jun lalu selepas pemaju projek berkenaan didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh PBT semasa menjalankan pembinaan.

"Apa yang buat saya marah dan kecewa selepas perintah itu dikeluarkan, ahli majlis berkenaan yang merupakan dalang besar telah berjumpa dengan pegawai MPPP pada 26 dan 29 Jun lepas bagi mendesak supaya tarik balik arahan tersebut," katanya yang enggan mendedahkan identiti ahli majlis terbabit.

Jeff berkata cubaan ahli majlis berkenaan seolah-olah menggadaikan kepentingan dan kesejahteraan hidup pengundi di kawasannya serta ia juga akan mengugat keyakinan rakyat terhadap gabungan pembangkang.

"Cara dia akan buat rakyat hilang kepercayaan kepada kita (kerajaan gabungan) dan atas sebab itu, saya telah hantar surat kepada kerajaan negeri berhubung tindakannya itu supaya satu siasatan dalaman dijalankan ke atas ahli majlis tersebut.

"Ini bagi memastikan dia tidak mempunyai sebarang "conflict of interest" sedangkan dia telah melacurkan diri sebagai tukang lobi bagi pihak pemaju berkenaan," katanya.

Katanya, ahli majlis itu juga dikatakan bertindak mendesak pegawai-pegawai MPPP untuk membentang semula arahan berkenaan supaya ia boleh dikaji semula dan ditarik balik.

"Saya berpendapat ahli majlis berkenaan tidak mematuhi etika prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus kerana bertindak seperti 'koboi' dengan melobi serta mendesak bagi menyebelahi kepentingan pihak pemaju. "Sepatutnya dia (ahli majlis) hanya boleh membawa sebarang usul secara rasmi dalam manamana mesyuarat rasmi yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan bukan membuat tekanan atau desakan seperti itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas Negeri, Chow Kon Yeow ketika dihubungi berkata, beliau ada menerima aduan mengenai tindakan ahli majlis itu daripada Jeff Ooi dan telah memanjangkan surat berkenaan kepada Yang Dipertua MPPP, Tan Cheng Chui untuk tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun, Tan tidak dapat dihubungi untuk penjelasan lanjut berkaitan perkara itu.

Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim ketika dihubungi pula berkata beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu dan akan menyiasatnya. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan