Ujian air liur bagi pelancong yang ada simptom selesema, kata Liow

Diterbitkan: Khamis, 2 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelancong asing dan tempatan yang tiba dari luar negara perlu menjalankan ujian air liur jika pemeriksaan saringan di pintu masuk negara menunjukkan mereka mempunyai simptom Influenza A(H1N1), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.

Sebaik sahaja ujian air liur menunjukkan tanda positif, Jabatan Kesihatan akan menghubungi mereka dan kontak mereka untuk dikuarantin dan rawatan, katanya pada sidang media bersama dengan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Terdahulu itu, Liow mengadakan perbincangan dengan agensi pelancongan, pengusaha hotel dan wakil syarikat penerbangan mengenai wabak tersebut.

Beliau juga berkata pelancong yang menunjukkan simptom A(H1N1) semasa pemeriksaan saringan akan ditahan di pintu masuk negara selama enam jam sehingga laporan saringan itu siap sebelum dibenarkan keluar.

Bagi pelancong tempatan pula yang mempunyai simptom sama, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan Jabatan Kesihatan akan menghantar laporan saringan kepada mereka apabila disiapkan.

Mengenai mesyuarat itu, Liow berkata beliau telah memberi taklimat mengenai keadaan wabak itu yang kini masih terkawal di negara ini.

Liow juga berkata Kementerian Kesihatan merupakan satu-satunya pihak berkuasa memberi arahan kepada mereka yang didapati positif penyakit itu supaya dikuarantin dan tidak ada pihak lain yang membuat tindakan seperti itu.

Sementara itu, Dr Ng berkata Kementerian Pelancongan akan memaklumkan situasi A(H1N1) kepada kedutaan asing dan pejabat suruhanjaya asing di Malaysia di samping menjelaskan bahawa Malaysia masih selamat untuk dikunjungi.

"Ramai pelancong masih sangsi untuk datang ke Malaysia kerana penularan wabak itu di negara ini tetapi pada hal situasi di sini bukan serius seperti apa yang digembargemburkan oleh media," katanya.

Dr Ng berkata pelancong asing tidak harus mempercayai laporan seperti itu dan boleh melawat negara ini tanpa rasa bimbang dengan keselamatan mereka.

Sebelum itu, Dr Ng menerima kunjungan 100 anggota delegasi dari Guangzhou, China, yang melawat negara ini bagi mempromosikan Sukan Asia ke16 di bandar raya itu dari 11 hingga 27 Nov, 2010. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan