Pakatan Rakyat Kedah sudah lama rapuh - Mahdzir

Diterbitkan: Khamis, 2 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Umno Kedah hari ini mahu mengambil 'sikap tunggu dan lihat' ekoran krisis politik yang melanda kerajaan Pakatan Rakyat Kedah di bawah pimpinan PAS semalam.

Sehubungan itu menurut bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datu Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan semalam turut mengiyakan kenyataan bahawa ikatan antara DAP dan PAS negeri jelas menunjukkan Pakatan Rakyat Kedah sememangnya sudah lama "rapuh".

"Hubungan mereka memang sudah lama rapuh..Perkara ini sudah lama kita tahu, tapi kita mahu ambil sikap tunggu nak lihat.

"Itu lebih baik. Saya lihat apa yang terjadi adalah kerana hubungan kedua-dua parti yang sangat berbeza dari aspek ideologi dan polisi masing-masing, ini menyukarkan urusan pentadbiran kerajaan negeri," katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan DAP Kedah semalam yang memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat ekoran rasa tidak puas hati dalam beberapa isu berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.

Ketika ditanya adakah beliau menjangkakan krisis politik yang melanda Perak akan turut dirasai di Kedah, Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata:

"Saya lihat perkara itu tidak mustahil akan berlaku.Jika kedua-dua parti (DAP dan PAS) tidak mampu mencari jalan penyelesaian. keadaan yang terjadi di Perak mungkin berlaku di sini juga (Kedah)."

Bagaimanapun Mahdzir yang juga Ketua Pembangkan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu enggan mengulas mengenai tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh Badan Perhubungan Umno Kedah selepas ini.

"Yang itu saya tak boleh komen, kita tunggu keputusan daripada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal)," katanya.

Sementara itu, kepimpinan Pakatan Rakyat akan membincangkan perkembangan mengenai krisis politik yang melanda DAP dan PAS Kedah dalam satu mesyuarat khas di bangunan Parlimen tengah hari ini.

Semalam DAP Kedah memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat Kedah ekoran tindakan kerajaan negeri itu yang didakwa tidak menyelesaikan siri isu sejak selepas pilihan raya mum 2008.

Keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat Kedah diputuskan oleh DAP petang semalam, demikian menurut Pengerusi DAP Kedah dan Perlis, Thomas Su.

Sementara itu Bernama melaporkan, Thomas Su berkata kerajaan pimpinan PAS adalah kerajaan yang lemah malah sering menimbulkan masalah kaum termasuk mengenakan kuota perumahan Bumiputera sebanyak 50 peratus.

Azizan pula memberi reaksi balas dengan menyifatkan tindakan DAP negeri itu sebagai mengatasi keputusan pucuk pimpinan mereka sendiri. Beliau berkata senario politik di Kedah tidak sama dengan negeri-negeri lain kerana budaya masyarakat dan isu-isu tempatan adalah berbeza.

"Apa DAP mahu saya tidak faham. DAP selalu cakap semua rakyat harus menghormati undangundang tetapi dalam masa yang sama DAP cuba membela pihak yang melanggar undangundang," katanya merujuk kepada sebuah pusat penyembelihan babi tanpa lesen di Kampung Berjaya di sini yang diarah dirobohkan oleh kerajaan negeri.

Azizan berkata jika DAP tidak berminat lagi untuk bersepakat dalam kerajaan negeri di Kedah, terpulanglah kepada pimpinan pakatan pembangkang pusat untuk membuat keputusan mengenainya.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian memberitahu Bernama bahawa keretakan dalam pakatan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat, sebenarnya berpunca daripada ketiadaan kesefahaman yang kukuh.

Katanya apa yang berlaku di Kedah memperlihatkan seolah-olah banyak isu sesama mereka belum selesai dan pemimpinpemimpin mereka belum matang dalam pembentukan sebuah kerajaan.

Sivamurugan berkata, akibat terlalu berpolitik, mereka mungkin lupa mengenai kebajikan rakyat yang harus diberi keutamaan.

Katanya, masalah paling besar ialah setiap negeri yang dipimpin oleh gabungan tiga parti itu mempunyai perspektif yang berbeza dan mereka belum ada kesefahaman yang komprehensif.

Sebagai contoh, katanya, di Selangor perspektif kerajaan itu adalah dari sudut kepimpinan PKR, di Pulau Pinang pula ialah DAP dan di Kedah pula keutamaannya ialah PAS.

"Ketidaksepakatan inilah yang menyebabkan sehingga meroboh pusat penyembelihan babi pun menjadi satu isu yang besar," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan