Rais: Seni budaya bantu realisasi 1Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 1 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seni budaya dan warisan boleh membantu merealisasikan Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata menerusi amalan seni budaya dan warisan, ia dapat membentuk masyarakat Malaysia yang lebih mengenali antara satu sama lain.

"1Malaysia bukan mudah untuk dilaksanakan 100 peratus tetapi menerusi 1Malaysia jua... kemudahan bagi kita mengamalkan seni budaya supaya menerusi seni budaya dapat kita bentuk masyarakat yang kukuh," katanya semasa melancarkan Festival Kuala Lumpur 2009 di Auditorium Perdana Angkasapuri di sini, malam tadi.

Hadir sama Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Rais berkata festival itu yang berlangsung sebulan mulai esok di sekitar Kuala Lumpur akan menyajikan pelbagai aktiviti antaranya seni persembahan, seni tampak, warisan, permainan tradisi, bahasa dan persuratan.

"Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi utama bagi menyerlahkan negara kita dengan sepenuh gelagat dan perjuangan seni itu kepada tahap yang paling tinggi," katanya.

Festival bertemakan "1Malaysia Di Sini Semaraknya Seni" turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kementerian Wilayah Persekutuan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan