Petugas barisan hadapan cukup untuk tangani H1N1 - Liow

Diterbitkan: Rabu, 1 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia siap sedia sepenuhnya untuk menghadapi wabak Influenza A(H1N1) memandangkan negara mempunyai petugas perubatan barisan hadapan yang cukup bagi menangani keadaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bagaimanapun, orang ramai tidak seharusnya mengambil mudah wabak itu memandangkan terdapat kemungkinan ia mencapai "jangkitan tempatan berkekalan", bermakna sumber jangkitan itu tidak diketahui, katanya ketika menggulung perbahasan usul yang dibentangkan oleh Dr Lee Boon Chye (PKRGopeng) mengenai selesema itu di Dewan Rakyat semalam.

"Oleh itu, kita semua kena mempunyai sikap dan kerjasama yang rapat untuk samasama tangani wabak ini. Wabak ini akan terus berada di sini dan boleh berlarutan selama berbulan-bulan. Kita perlu bekerjasama untuk memeranginya," katanya.

Liow berkata Malaysia masih di bawah fasa kaedah pengawalan Pelan Kesiapsiagaan Pandemik Nasional (NPPP), dan masih belum memasuki fasa mitigasi.

"Semua sudah digariskan di dalam NPPP. Walaupun kita ada jangkitan tempatan tetapi ia masih boleh dikawal kerana kita tahu sumber jangkitan itu datang dari siapa dan kami dapat kesan pesakit tersebut ke mana," katanya.

Liow berkata selesema babi itu belum sampai ke peringkat jangkitan tempatan berkekalan dan apabila ia sampai ke peringkat itu, punca jangkitan tidak akan diketahui, maka ia akan menjadi satu wabak.

Beliau berkata sekiranya keadaan meningkat sehingga ke peringkat itu, saringan di pintu keluar dalam kalangan komuniti yang terjejas akan diwujudkan sungguhpun langkah itu tidak disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi menangani keadaan.

"Kita memang ada kawalan ketat untuk semua pintu masuk. Borang pengisytiharan kesihatan kepada semua pengunjung. Kita mengambil langkahlangkah ini kerana kita masih mampu. Kita masih di peringkat kaedah pengawalan.

"Singapura berada dalam peringkat mitigasi, Indonesia dan Thailand sedang menempuhi wabak dan mereka memerlukan mitigasi. Kami berusaha melakukan yang terbaik, kami cuba mengekang pandemik itu bagi memastikan ia tidak merebak. Sebaik sahaja terdapat penularan, kami akan beralih kepada kaedah mitigasi," katanya.

Liow berkata berdasarkan pemerhatiannya, negara seperti Indonesia dan Thailand yang berdepan pandemik dan memaksa negara terbabit untuk menggerakkan fasa mitigasi masingmasing, telah membuktikan bahawa virus itu disebarkan dengan pantas menerusi interaksi manusia dan kembara, menjadikan Malaysia berkemungkinan besar untuk sampai ke peringkat itu juga.

Liow berkata virus itu berupaya mengalami mutasi, mengakibatkannya lebih sukar untuk dikawal dan menjadikannya amat berbahaya.

Ketika ditanya mengenai keupayaan kementerian dalam memastikan keselamatan para pegawai di pintu masuk, beliau menegaskan pegawai kesihatan dan pasukan pemantauan ditugaskan di kesemua 53 pintu masuk dan keluar rasmi di seluruh negara.

Mengenai pintu masuk tidak sah yang tidak dikawal dan digunakan oleh pendatang tanpa izin untuk memasuki negara ini, Liow memberitahu Dewan bahawa beliau telah pun memohon lebih banyak kerjasama dan bantuan daripada polis serta imigresen bagi memantau keadaan.

Liow sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa virus H1N1 tidak merebak dengan memakan daging babi atau produk berasaskan babi, tetapi melalui udara dan dijangkiti menerusi interaksi manusia.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen kemudian, Liow berkata beliau akan memberi taklimat penuh mengenai selesema babi kepada Dewan Rakyat pada Khamis. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan