Tuduhan rasuah asam garam politik - Tuan Aziz Tuan Mat

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Calon Barisan Nasional bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negei (DUN) Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat menganggap tuduhan rasuah yang dilemparkan terhadapnya sebagai 'asam garam' dalam dunia politik.

"Saya anggap perkara (tuduhan rasuah) ini biasa dalam politik. Saya lihat ini strategi pihak-pihak tertentu menjelang pilihan raya, cuma kita tidak pasti siapa mereka," katanya kepada mStar Online ketika diminta mengulas mengenai dakwaan rasuah dan salah guna kuasa yang tersebar di internet sejak beberapa hari yang lalu.

Tuan Aziz, 39 tahun, yang juga Pengurus Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Projek, Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) turut menafikan dakwaan yang disebarkan melalui internet itu.

Dakwaan di internet juga mendakwa Tuan Aziz melakukan lawatan yang 'meragukan' ke luar negara serta membawa bersama pegawai-pegawai yang tidak berkaitan ke negara Asean seperti Vietnam dan Thailad untuk tujuan pemasaran.

Selain itu, terdapat satu lagi dakwaan kononnya beliau menyalahguna kuasanya dalam pemberian kontrak-kontrak KPSB (Kesedar Perkilangan Sdn Bhd) dan melobi untuk pembekal baja sewaktu bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Kuala Krai.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut Aziz berkata isu itu sepatutnya tidak berbangkit kerana beliau hanya melaksanakan tugas yang ditinggalkan oleh CEO yang terdahulu.

"Kesedar buat program ke luar negara untuk tingkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam industri sawit dan pengurusan ladang. Dalam lawatan ke Vietnam pegawai-pegawai saya yang pergi, mereka pergi bukan untuk suka-suka atas urusan kerja.

"Lawatan ke luar negara itu juga merupakan sebahagian daripada program tahunan Kesedar," kata Tuan Aziz yang kesal dengan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Ketika ditanya adakah dakwaan rasuah dan salah guna kuasa yang dilemparkan terhadapnya akan menjejaskan peluang BN untuk menang di Manek Urai, Tuan Azis berkata: "Saya bertanding bukan kerana ada agenda tertentu. Niat saya ikhlas, untuk membantu masyarakat di Manek Urai tingkatkan taraf hidup mereka.

"Insya-Allah dengan sedikit ilmu yang saya ada, saya yakin dapat membantu mereka," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bukan mudah untuk menang di Manek Urai yang merupakan kubu kuat PAS.

"Saya akui ini kawasan mereka (PAS), namun dengan kerjasama semua pihak di peringkat akar umbi,saya yakin BN mampu memecahkan monopoli PAS di sana (Manek urai).

"Insya-Allah selepas kita berikhtiar kita serahkan semuanya kepada Allah Taala," katanya.

PAS mengumumkan calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga Bendahari PAS Bahagian Kuala Krai pada malam Jumaat lepas.

Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai diadakan selepas penyandangnya, Ismail Yaakob dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu akibat pelbagai komplikasi.

Pada pilihan raya umum 2008, Ismail menewaskan calon BN, Zulkepli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihan raya kecil kawasan tersebut akan diadakan pada 14 Julai manakala penamaan calon 6 Julai.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan