Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan tidak akan diberi kuasa mendakwa

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang akan diwujudkan tidak akan diberi kuasa mendakwa kerana ia merupakan badan pemantau terhadap aduan orang ramai mengenai salah laku pegawai penguatkuasaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ini adalah kerana mengikut Perlembagaan, kuasa mendakwa terletak di bawah Jabatan Peguam Negara.

"Sekiranya ada perkara yang dilakukan pegawai penguatkuasa yang kita dapati ia satu kesalahan tata tertib, SIAP boleh siasat, kita tidak berhajat untuk memberi SIAP kuasa mendakwa," katanya ketika menggulung perbahasan Rang UndangUndang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 di Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau berkata tidak timbul isu pertindihan kuasa di antara SIAP dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana SIAP hanya menerima aduan mengenai salah laku dan tatatertib pegawai dan bukannya menyiasat masalah berkenaan jenayah.

"Ini merupakan satu badan yang orang ramai merasakan kesalahan bukan jenayah, tiada elemen rasuah tetapi macam maki hamun orang ramai, tidak jalankan tugas...jenis ini yang diadukan kepada SIAP.

"Sekiranya ada orang bawa kes berbaur jenayah, kita serahkan kepada polis untuk siasat dan Peguam Negara untuk buat keputusan sama ada hendak dakwa atau tidak, kita tidak berhajat untuk ambil alih kuasa yang diwujudkan dalam SPRM dan Polis," katanya.

Mohamed Nazri berkata setiap aduan yang diterima akan dibawa kepada jawatankuasa disiplin badan penguatkuasa masingmasing dan jika tiada tindakan dibuat, SIAP akan mengadakan perbicaraan secara terbuka.

"Contohnya, orang mengadu kepada Polis bahawa seorang Koperal itu melakukan kesalahan tatatertib tetapi tiada tindakan, sebab itu orang boleh buat aduan kepada SIAP dan SIAP akan beri cadangan mengenai tindakan yang sesuai.

"Cadangan yang dibuat akan diketahui umum, seperti kita cadangkan pegawai itu dibuang, tetapi mungkin ada alasan lain mengapa dia tidak boleh dibuang tetapi digantung sahaja, kita kena dengar juga sebab ia pendengaran awam," katanya.

Persidangan Dewan disambung esok. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan