Seimbangkan laporan H1N1 supaya tidak jejas industri pelancongan

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan meminta media supaya lebih seimbang dalam melaporkan situasi influenza A (H1N1) di negara ini agar ia tidak menjejaskan kedatangan pelancong.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen berkata laporan yang terlalu diperbesarkan menyebabkan kedatangan pelancong ke Malaysia dari negara berpotensi seperti China, Jepun, Hong Kong dan Taiwan menurun sebanyak 20 peratus bulan ini berbanding tempoh sama tahun lepas di samping berlaku pembatalan 2,000 pakej melancong dari Tokyo.

Beliau berkata media seharusnya memperbesarkan berita bahawa negara ini belum mencatat kematian akibat virus influenza itu serta situasi di negara ini yang tidak seserius yang digambarkan.

"Oleh kerana kecanggihan teknologi, apa yang ditulis hari ini sudah boleh dibaca di Beijing dan Shanghai kemudiannya. Jadi atas faktor itu media perlu seimbang dalam penulisan dan penghasilan berita mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat krisis pengurusan pelancongan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Mesyuarat itu disertai wakil daripada Malaysia Airlines (MAs), AirAsia, Persatuan Ejenejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), China and Yaman Airlines, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pengangkutan dan pengusaha hotel.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Eksekutif MAS Datuk Seri Idris Jala pula berharap pengamal media tidak terlalu "mendramatikkan" kes H1N1 sehingga menimbulkan kebimbangan pelancong untuk ke negara ini.

Beliau berkata media seharusnya menyebarkan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang sehingga kini belum mengeluarkan arahan sekatan untuk mengunjungi manamana negara.

"Terdapat arahan yang jelas daripada WHO...tiada sekatan atau larangan perjalanan di seluruh dunia.

"Kita perlu jelaskan yang belum ada kematian dicatat akibat virus itu di negara ini berbanding virus Sindrom Penafasan Akut Yang Teruk (SARs) yang melanda sebelum ini," katanya.

Idris turut mempersoal kewajaran arahan kuarantin terhadap pelajar yang pulang daripada negara yang dijangkiti virus H1N1 kerana arahan itu turut mempengaruhi keputusan pelancong untuk ke negara ini.

Beliau berkata kebanyakan pelancong menyangka arahan itu juga akan dikenakan terhadap mereka.

"Mereka turut mempersoal apakah perbezaan antara pelajar dan pelancong kerana bagi mereka semuanya adalah manusia dan setiap manusia boleh dijangkiti virus itu," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan