Sabar! Hukuman cuma syor, kata Timbalan Speaker

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hasil laporan Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat berkaitan insiden beberapa ahli Pemuda Umno yang mengepung Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh pada 26 Februari lalu di bangunan Parlimen tidak seharusnya didedahkan kepada umum selagi ia tidak dibahaskan di Dewan Rakyat.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Timbalan Pengerusi bagi jawatankuasa menyiasat aduan Karpal, Datuk Ronald Kiandee berkata, ahli Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang perlu mengikut peraturan yang memerlukan segala kandungan laporan itu dibahaskan terlebih dulu.

Beliau berkata, walaupun laporan itu dibentangkan pada hari ini, namun ia memerlukan dua hari sebelum dapat dibahas oleh semua Ahli Parlimen sama ada daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang.

Katanya, Lim boleh memberikan apa sahaja pandangan berhubung keputusan itu ketika usul tersebut dibahaskan Khamis ini.

"Dia (Lim) tak perlu 'jump the gun'. Dia boleh berbahas nanti apabila usul itu dibentang pada hari Khamis.

"Dia tak perlu pertikai keputusan (kerana) semua pihak mempunyai peluang untuk membahas usul ini ketika usul itu dibaca pada Khamis kelak, dan pada masa itu dia berhak dan mempunyai peluang untuk meluahkan apa juga pendapat," katanya ketika ditemui hari ini.

Ronald berkata, hukuman yang tertera dalam laporan itu hanya cadangan daripada jawatankuasa berkenaan dan bukan sesuatu yang muktamad kerana ia perlu dibawa ke dalam Dewan terlebih dulu.

"Keputusan yang dicadangkan itu hanya muktamad selepas diputuskan majlis...itu cadangan daripada jawatankuasa (dan ia akan diputuskan) majlis Dewan (dianggotai) ahli-ahli Parlimen," katanya.

Terdahulu Lim melahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan tertera dalam laporan Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat Mengikut Peraturan Mesyuarat 80A yang mencadangkan supaya empat pemimpin Pemuda Umno yang terbabit dalam insiden menghalang Karpal daripada memasuki bangunan Parlimen dikenakan denda RM1,000 setiap seorang.

Katanya, laporan itu menyatakan empat ahli Pemuda Umno yang dikenakan denda itu adalah Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdullah; Ketua Pemuda Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din; Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Azahari Datuk Shaari dan Ketua Pemuda Umno Serdang, Ungku Md Salleh Ungku Abd Jamal.

Selain itu katanya, laporan itu turut menyebut lapan ahli Parlimen didapati tidak memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Siasatan Aduan Karpal itu dan dikenakan hukuman 'pencelaan'.

Mereka adalah ialah Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), Lim Lip Eng (DAP-Segambut), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) dan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang); Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat); R Sivarasa (PKR-Subang) selain Karpal dan Lim sendiri.

Lim berkata, denda yang dikenakan terhadap empat Pemuda Umno itu ringan kerana hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah tujuh tahun penjara berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

"RM1,000 untuk menjadi hero sangat murah bukan? Ini bukan soal berapa (denda yang dikenakan).

"Mereka melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan penjara tujuh tahun, kalau nak jadi hero... pergi penjara dululah," katanya.

Sementara itu, Karpal berkata, cadangan denda itu tidak setanding dengan kekecohan yang dilakukan ahli-ahli Pemuda Umno itu sebelum ini.

"Kesalahan yang dilakukan mereka itu sangat serius dan pada pendapat saya ia perlu dibahaskan semula. Saya minta Ketua Polis Negara dan Peguam Negara dapat campur tangan dalam hal ini dan menjalankan siasatan untuk menyelesaikan perkara ini.

"Bayaran denda RM1,000 adalah tidak logik dan perkara ini akan menyebabkan mereka dengan sewenang-wenangnya melakukan kesalahan sama berikutan denda yang dikenakan hanyalah ringan, mereka melakukan kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952," katanya.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan