Najib: Nyahkawalseliaan garis panduan pelaburan, dasar adil untuk semua

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyahkawalseliaan garis panduan pelaburan secara menyeluruh yang diumumkan hari ini ialah dasar yang adil dan saksama untuk semua, termasuk pelabur asing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia adalah garis panduan dasar baharu yang adil, yang direka bagi manfaat semua untuk para pelabur dan pada masa yang sama memenuhi keperluan untuk instrumen efektif baharu bagi penyertaan Bumiputera," kata beliau.

Oleh itu, tidak timbul sebarang "tindak balas negatif politik", kata Najib, yang merupakan menteri kewangan ketika ditanya sama ada garis panduan itu akan menimbulkan reaksi negatif politik pada persidangan akhbar di Persidangan Invest Malaysia 2009 di sini hari ini.

"Sesiapapun tidak boleh merasa dipinggirkan, tiada kumpulan etnik yang dipinggir dan tiada kumpulan etnik yang ditarik balik insentif mereka. Ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi boleh dilaksanakan," kata beliau.

Najib berkata nyahkawalseliaan garis panduan itu adalah seiring dengan janji beliau apabila menjadi Perdana Menteri, iaitu membawa perubahan dan pemulihan.

"Saya cuba mengotakan janji saya sebagai seorang ahli politik. Saya harap anda akan mempunyai lebih kepercayaan terhadap ahli politik di masa hadapan," kata beliau. Antaranya, beliau mengumumkan dengan berkuat kuasa serta merta, garis panduan Jawatankusa Pelaburan Asing (FIC) meliputi pengambilalihan kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan akan dimansuhkan tanpa sebarang garis panduan baru mengambil tempat.

"FIC tidak lagi akan memproses sebarang urus niaga saham ataupun melaksanakan syarat ekuiti ke atas mereka," kata beliau.

Beliau berkata, pada masa ini, syarikatsyarikat yang ingin disenaraikan dikehendaki memenuhi syarat tebaran pegangan saham awam sebanyak 25 peratus berasaskan kepada syarat penyenaraian Bursa Malaysia dan juga syarat ekuiti Bumiputera berdasarkan kepada garis panduan FIC.

Bergerak ke hadapan, beliau berkata yang syarat tebaran awam akan kekal dan sebagai tambahan, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan garis panduan baru yang memerlukan syarikat yang mahu disenaraikan menawar 50 peratus daripada 25 peratus tebaran pegangan saham awam kepada pelabur Bumiputera.

"Oleh yang demikian, syarat ekuiti Bumiputera boleh dimasukkan dalam lingkungan syarat tebaran awam.

"Salah satu masalah FIC dan model lama ialah ada sesetengah pihak merasakan tidak diberikan insentif dalam negara ini dan adanya aduan oleh pelabur asing pada masa lampau. Dan sekarang, saya harap mereka akan perkatakan mengenai kita yang lebih mesra. Insya-Allah," kata beliau.

Najib berharap langkahlangkah baharu itu akan menjadikan ekonomi negara lebih rancak dan meletakkan Malaysia "lebih tinggi" di mata pelabur asing, bukan sahaja dalam pelaburan asing langsung tetapi juga pelaburan ekuiti.

"Kita telah menempatkan semula Malaysia dari segi mengambil peluang atas pemulihan ekonomi global," kata beliau.

Ditanya jika langkah-langkah baru itu akan menghapuskan Ali Baba, beliau berkata: "Saya tidak fikir kita boleh hapuskan "rakan kongsi tidur" sehari semalam ... maksud saya dalam perniagaanlah. Tetapi, saya rasa ia akan mengurangkannya dengan amat ketara. "Sekurangkurangnya, kita membantu mereka yang ingin membantu diri sendiri," kata beliau.

Najib berkata pada masa dulu, Bumiputera mendapat saham dan terus menjualnya. "Pada akhirnya, aktiviti jualan ini menjadi begitu besar. Kita buat penyelidikan kita.

Tidak banyak saham yang tinggal, jadi, model yang lama itu tidak mampan," kat beliau.

Daripada sejumlah RM54 bilion saham yang diperuntukkan, hanya RM2 bilion saham milik Bumiputera, kata beliau.

Beliau berkata jumlah ekuiti Bumiputera hanya 19.4 peratus, jauh daripada yang disasarkan iaitu 30 peratus 19 tahun lepas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan