Milikan asing dalam firma broker saham dinaikkan kepada 70 peratus

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini bahawa had pegangan saham asing di dalam syarikat broker saham sedia ada akan ditingkatkan kepada 70 peratus daripada 49 peratus pada masa ini dalam usaha meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai satu destinasi penyenaraian dan pelaburan.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa berkuat kuasa serta merta, garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) yang meliputi pengambilalihan kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan dimansuhkan tanpa diganti dengan garis panduan baharu.

"FIC tidak lagi akan memproses sebarang transaksi saham atau mengenakan syarat ekuiti ke atas transaksi sedemikian," katanya.

Pemilikan di dalam segmen pemborongan industri pengurusan dana akan juga diliberalisasikan sepenuhnya untuk membolehkan 100 peratus pemilikan asing bagi syarikat pengurusan dana yang layak dan utama bagi menubuhkan operasi di Malaysia, katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata bagi segmen peruncitan, had pegangan saham asing bagi syarikat pengurusan saham amanah akan ditingkatkan kepada 70 peratus daripada paras semasa 49 peratus.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan penyahkawalseliaan komprehensif garis panduan pelaburan yang dikawal atur oleh FIC meliputi pengambilalihan kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan, pengendalian langkah meraih dana oleh syarikat tersenarai dan pengambilalihan hartanah di persidangan "Invest Malaysia 2009."

Mengenai perubahan peranan FIC, katanya "ini merupakan satu langkah merasionalisasikan peraturan FIC. Sehingga semalam, langkah pemprosesan transaksi sedemikian merupakan tanggung jawab utama FIC (tetapi) mulai hari ini fungsi FIC itu berakhir."

Najib berkata pengendalian langkah meraih dana oleh syarikat tersenarai telah turut dipertingkatkan dengan ketara dalam usaha meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai satu destinasi penyenaraian.

Kini, syarikat yang ingin mendapatkan penyenaraian diperlukan memenuhi keperluan pegangan saham awam 25 peratus berdasarkan peraturan penyenaraian Bursa Malaysia dan juga syarat ekuiti Bumiputera yang berdasarkan garis panduan FIC.

Keperluan tebaran awam itu terus dikekalkan dan sebagai tambahan Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan memperkenalkan satu garis panduan baharu yang memerlukan syarikat yang ingin mendapatkan penyenaraian menawarkan 50 peratus daripada tebaran pegangan saham awal kepada pelabur Bumiputera.

"Syarat ekuiti Bumiputera dengan itu dimasukkan ke dalam tebaran awam." Ini mengukuhkan daya saing Bursa Malaysia sebagai satu destinasi penyenaraian apabila pihak penggalak syarikat yang ingin mendapatkan penyenaraian tidak lagi diperlukan untuk melucut hak ekuiti melangkaui keperluan berkenaan untuk memenuhi keperluan tebaran awam.

Perdana Menteri berkata sebagai tambahan untuk melonggarkan lagi peraturan untuk meraih dana dari pasaran modal, eksesais meraih dana pasca penyenaraian tidak lagi perlu mematuhi sebarang syarat ekuiti.

"Langkah penyahkawalseliaan itu akan memberi sokongan serta merta terhadap syarikat tersenarai sedia ada untuk meraih dana untuk melaksanakan pelaburan dan mengurangkan pergeseran pematuhan kos," katanya.

Keperluan baharu ini untuk menawarkan 50 peratus tebaran pegangan saham awam kepada Bumiputera hanya terpakai kepada syarikat Malaysia yang ingin mendapatkan penyenaraian di Bursa Malaysia.

"Garis panduan semasa bagi syarikat asing untuk mendapatkan penyenaraian tanpa sebarang keperluan pematuhan dengan sebarang syarat ekuiti dikekalkan dan berikutan itu, kita telah melihat beberapa syarikat asing berjaya memohon penyenaraian di Malaysia," katanya.

Najib turut mengumumkan bahawa satu institusi pelaburan baharu yang dinamakan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) akan diwujudkan.

Ekuinas akan ditubuhkan sebagai satu dana ekuiti swasta, dengan modal berbayar RM500 juta.

Ekuinas, yang seterusnya akan diperbesarkan untuk menjadi dana RM10 bilion, akan memberi fokus pelaburannya dalam sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi, sejajar dengan langkah menyokong Model Ekonomi Baharu, kata Najib.

Pada masa yang sama, Ekuinas akan melakukan pelaburan secara bersama dengan dana sektor swasta bagi mempromosikan perkongsian tulin dan pendekatan komersil sepenuhnya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan