Majlis Agama Islam negeri sokong tangguh Pindaan undang-undang berkaitan tukar agama

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Negeri-negeri hari ini sebulat suara menyokong tindakan Majlis Raja-Raja yang membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan meminda undang-undang berkaitan penukaran agama dan Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Mereka berpendapat bahawa keputusan Majlis Raja-Raja itu tepat dan wajar serta kena pada masanya supaya input yang diterima dari Majlis Agama Islam Negeri-Negeri boleh diteliti bagi memantapkan pindaan-pindaan berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya berkata keputusan Majlis Raja-Raja itu amat tepat bagi mengelak timbulnya masalah kelak.

"MAIPP akan membantu memberi pandangan supaya ia dapat diputuskan secara bijaksana. Kita tidak mahu perkara itu menjadi pertikaian pihak tertentu pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Shabudin berkata memandangkan isu berkaitan agama adalah isu sensitif, adalah wajar ia diperkemaskan sebelum ia dilaksanakan.

"Perkara ini perlu dibincangkan dan diperhalusi bagi memantapkan sebarang keputusan demi kepentingan agama dan semua pihak terbabit," katanya.

Di Kuantan, Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman pula berkata tindakan Majlis Raja-Raja itu adalah tepat demi kepentingan agama dan umat Islam.

Beliau berkata semua pindaan itu perlu diperhalusi agar tidak timbul masalah di kemudian hari.

"Dari segi hukum, tanggungjawab ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk sama-sama memeluk agama Islam adalah jelas," katanya kepada Bernama di Kuantan.

Abdul Rahman berkata, peranan itu dengan sendirinya terletak dibahu kedua-dua orang tua dan bukan hanya sekadar bertanggungjawab untuk menyedia makan dan minum mereka.

"Tiada perkara yang lebih tinggi daripada agama Islam itu sendiri dan tanggungjawab itu juga untuk menyelamatkan akidah anakanak dan tidak mengira had umur," tegasnya.

Beliau berkata keputusan Majlis Raja-Raja itu merupakan satu keputusan yang terbaik demi menjaga kepentingan agama dan umat Islam.

"Perkara ini bukan isu yang boleh dipandang mudah dan ia perlu diperhalusi dengan lebih menyeluruh," Abdul Rahman mengingatkan.

Di Alor Setar, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) Datuk Uzir Baharom menyifatkan keputusan itu tepat kerana Majlis Raja-Raja berhak untuk membuat sebarang keputusan memandangkan hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja-raja Melayu.

Katanya, perkara itu wajar dikaji secara menyeluruh sebelum membuat sesuatu keputusan kerana cadangan pindaan undang-undang itu melibatkan kepentingan hal ehwal agama Islam. "Keputusan itu harus disambut baik dan apa sahaja keputusan Majlis Raja-Raja tidak harus dipertikaikan. Lagipun Majlis RajaRaja telah mengadakan mesyuarat khas mengenai pindaan undangundang berkaitan hal ehwal Islam itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, Uzir berkata setakat ini belum ada sebarang arahan atau permintaan dari manamana pihak untuk mendapatkan maklumbalas atau pandangan daripada MAIK.

Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat selama dua setengah jam di Istana Negara semalam membuat keputusan menangguhkan cadangan pindaan berkenaan.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mesyuarat yang dipengerusikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperolehi terlebih dahulu.

Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat ke mesyuarat berkenaan.

Pada 22 April lepas Kabinet membuat keputusan bahawa anakanak kekal menganut agama asal ibu bapa masingmasing semasa berkahwin walaupun ibu atau bapa mereka kemudian memeluk agama lain.

Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak.

Jemaah menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dahulu bagi mengelakkan pihak yang tidak bersalah terutamanya kanak-kanak menjadi mangsa. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan