Liow: Guna istilah influenza A (H1N1), bukan selesema babi

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua kementerian telah diarah untuk menggunakan istilah influenza A (H1N1) dan bukan 'selesema babi' bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau akan memastikan perkara ini akan dimaklumkan kepada kepada jawatankuasa influneza A (H1N1) antara agensi pada mesyuaratnya esok.

Liow berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) tentang sebab istilah yang digunakan bagi wabak itu tidak diselaraskan.

Dr Lee telah membentangkan usul tergempar bagi membahaskan penularan wabak influenza A (H1N1) dan langkah yang diambil untuk menanganinya.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah membenarkan usul itu dibahas selama sejam bermula pukul 4.30 petang tadi memandangkan ia memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu tertentu, berkepentingan awam dan perlu disegerakan.

Dalam perbahasan itu, Chow Kon Yeow (DAP–Tanjung) bertanya jika istilah 'selesema babi' akan memberi tanggapan bahawa mereka yang tidak makan daging babi tidak akan dijangkiti.

Liow turut mengambil kira cadangan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) supaya menteri mengadakan taklimat berhubung wabak itu supaya semua ahli Parlimen boleh menyampaikan maklumat itu kepada penduduk di kawasan masing-masing.

Liow berkata, taklimat itu akan diadakan pada waktu rehat Khamis ini.

Berhubung soalan Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN–Kalabakan) tentang bagaimana kementerian akan memantau kemasukan haram di pintu masuk negara ini terutamanya di Sabah dan Sarawak, Liow berkata, imbasan kesihatan dijalankan di 53 pintu masuk negara ini dan kementerian menyerahkan kepada pihak polis dan imigresen untuk memantau sempadan masuk haram.

Liow berkata, sebanyak 158 kes influenza A (H1N1) dilaporkan di negara ini sekaligus mencatatkan jumlah 0.2 peratus bagi kes wabak itu secara keseluruhan di seluruh dunia.

Katanya, daripada jumlah itu, 133 kes adalah diimport manakala 25 lagi adalah penularan tempatan.

Katanya, 109 kes import itu adalah daripada mereka yang baru pulang daripada bercuti di luar negara dan pelajar yang pulang bercuti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan