Kes liwat: Anwar nasihati pemimpin PKR "sedia hadapi kemungkinan"

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah membincangkan strategi menghadapi sebarang kemungkinan keputusan kes liwat kali kedua melibatkan penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didengar bulan depan.

Perkara tersebut telah dibincangkan dengan mendalam pada mesyuarat Biro Politik PKR yang diadakan kelmarin.

PKR juga mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi kelmarin.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui di sini berkata, Anwar telah memberikan penekanan agar barisan kepimpinan parti itu menjalankan tanggungjawab khusus yang diberikan secara terus-menerus dan tersusun.

"Kami telah membincangkan pelbagai senario ketika kes Anwar akan didengar bulan depan. Salah satu senario ialah Anwar akan menghuni semula di Sg. Buloh.

"Penegasan Anwar ialah semua tugasan ini dijalankan secara berterusan dan bukan bermusim... yang itu saya anggap sebagai mesej yang penting dan secara kebetulan Ketua Umum (Anwar) akan berhadapan dengan bicara pada bulan Julai," katanya.

Pertengahan April lalu, Anwar telah merombak struktur tanggungjawab barisan kepimpinan kanan PKR.

PKR melantik Saifuddin, bekas Pengarah Strategiknya sebagai Pengarah Pilihan Raya menggantikan Naib Presiden Azmin Ali dalam proses menyusun semula struktur pengurusan komponen Pakatan Rakyat itu.

Azmin, Ahli Parlimen Gombak, yang melepaskan tugas Pengarah Pilihan Raya pula mengetuai pasukan petugas yang terdiri daripada kesemua Naib Presiden iaitu Dr. Lee Boon Chye, R. Sivarasa, Mustafa Kamil Ayub dan Dr. Jeffrey Kitingan.

Seorang lagi Naib Presiden, Tian Chua, dahulu Ketua Penerangan, pula dilantik menggantikan Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Machang.

RAYUAN ANWAR PETANG INI

Petang ini rayuan Anwar berhubung keputusan memindahkan kes liwat beliau dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, yang dijadual semalam ditangguhkan hingga petang ini.

Hakim Datuk Abdul Hamid Embong yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan perkara tersebut selepas peguam yang mewakili Anwar memohon supaya kes itu ditangguhkan kerana Anwar dan seorang lagi peguamnya, R. Sivarasa perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat pagi semalam.

Dua lagi hakim yang terlibat ialah Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Kes tersebut didengar pukul 2.30 petang ini.

Permohonan itu tidak dibantah oleh pihak pendakwa raya.

Mahkamah Tinggi akan mendengar kes liwat kedua Anwar ini 8 Julai ini.

Kes liwat pertama didengar sedekad lalu iaitu di peringkat awal PKR, yang dahulunya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (Keadilan) ditubuhkan.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Ekoran itu, Anwar, 62, didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan