China rakan baik kepada Malaysia, kata Najib

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persahabatan antara Malaysia dan China telah berkembang sejak sekian lama memandangkan republik itu telah membuktikan ia boleh dipercayai.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ayah beliau Allayarham Tun Abdul Razak Hussein, yang merupakan Perdana Menteri kedua telah mengambil langkah berani untuk menjalin hubungan dua hala dengan China sejak 35 tahun lepas, walaupun pada masa itu China berhadapan dengan pemberontakan komunis kerana merasakan beliau boleh mempercayai rakyat China.

"Jujurnya, beliau mempunyai keberanian dan wawasan untuk melakukannya kerana beliau melawan cara pemikiran pada masa itu. Ayah saya merasakan beliau boleh mempercayai rakyat China terutamanya Perdana Menteri ketika itu Zhou EnLai.

"Beliau kagum dengan Zhou dan merasakan rakyat China akan mengotakan kata mereka," katanya dalam temubual dengan saluran televisyen China, Phoenix yang disiarkan oleh Astro Awani, semalam.

Malaysia menjadi negara Asean pertama yang menjalin hubungan dua hala dengan China pada masa itu ketika dunia berada di kemuncak Perang Dingin.

Najib berkata daripada perspektif sejarah juga, China telah lama menjadi sahabat iaitu sejak zaman kesultanan Melayu. Beliau mengimbas ketika Laksamana Cheng Ho dan 30,000 tenteranya tiba di Melaka kirakira 500 tahun lepas, beliau (Cheng Ho) telah menawarkan persahabatan kepada masyarakat Melayu.

"Mereka tidak pernah menakluk atau menjajah kita. Kita telah dijajah oleh bangsa lain tetapi bukan China," katanya. Najib juga ditanya mengenai detik apabila Perdana Menteri China Wen Jiabao menyampaikan kepada beliau dan keluarganya gambar Allahyarham Abdul Razak dan bekas Perdana Menteri Zhou Enlai memeterai satu perjanjian antara kedua-dua negara itu di Great Hall.

"Saya diberitahu bahawa Perdana Menteri Wen Jiabao mempunyai kejutan untuk keluarga saya tetapi kami tidak diberitahu apa kejutan itu.

"Apabila tiba masanya beliau menghadiahkan saya dan keluarga saya dengan sekeping gambar majlis menandatangani perjanjian itu antara ayah saya dengan Zhou (Enlai) di Great Hall, tempat yang sama di mana majlis kami diadakan," katanya.

Najib berkata beliau juga berbesar hati kerana kerajaan China ingin memperingati persahatan yang sekian lama terjalin memandangkan ini bukanlah sesuatu yang biasa bagi masyarakat China untuk menggunakan Great Hall untuk acara seperti ini.

Beliau berkata selain mengiktiraf kepentingan strategik China, pilihan beliau untuk menjadikan China sebagai negara pertama di luar Asean yang dilawatinya juga mempunyai pengertian peribadi.

"Ini adalah ulang tahun ke35 sejak arwah ayah saya menjalin hubungan dengan China, iaitu negara Asean pertama yang melakukannya. Ini penting kepada saya untuk memperingati hubungan tersebut. Ia amat bermakna kepada saya dan keluarga saya," kata beliau. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan