Isu tukar agama: Taklimat AG ditangguh atas "faktor masa"

Diterbitkan: Isnin, 29 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Taklimat oleh Peguam Negara berhubung tiga akta yang bakal dipinda bagi menangani isu-isu mengenai pertukaran agama, yang dijadualkan petang tadi telah ditunda atas alasan "faktor masa."

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika mengesahkan perkara itu berkata, ia terpaksa dibatalkan kerana faktor masa yang terhad pada hari ini.

Nazri berkata, taklimat itu melibatkan semua ahli Parlimen beragama Islam berhubung pindaan Undang-undang Keluarga Islam.

Ditanya bila taklimat itu akan diberikan, Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, ia masih belum ditentukan.

Tengah hari tadi mStar Online difahamkan ahli-ahli Parlimen beragama Islam akan diberi taklimat oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada pukul 6 petang berhubung tiga akta yang dipinda bagi menangani isu-isu berhubung pertukaran agama yang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini.

Taklimat juga dijadual dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Tiga rang undang-undang akan dibentangkan pada sesi Parlimen yang bersidang sekarang melibatkan Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Sementara itu, Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan kehadiran bagi taklimat yang hanya akan melibatkan ahli Parlimen beragama Islam.

Katanya, taklimat itu perlu melibatkan semua ahli Parlimen dan tidak hanya terhad kepada mereka yang beragama Islam memandangkan ia melibatkan pembentangan rang undang-undang.

"Jika anda fikir kita boleh berbincang tentang syarak dan Islam, memang cukup hanya melibatkan ahli Parlimen beragama Islam untuk berkongsi pandangan mereka.

"Bagaimanapun, keutamaan adalah untuk membentangkan usul di Parlimen. Untuk menjemput hanya ahli Parlimen Islam (menghadiri taklimat) dan membabitkan ahli Parlimen bukan Islam untuk berbahas, ia aneh bagi saya," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau berharap ketiga-tiga rang undang-undang berkenaan akan dibentangkan pada sidang kali ini.

"Saya berharap begitu," kata beliau sambil menambah, sehingga pagi tadi belum ada indikasi ia kemungkinan akan dibawa untuk bacaan kali pertama.

Sidang Dewan Rakyat yang dilanjutkan dua hari akan berakhir Khamis ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan