Biasiswa Nasional selaras dengan konsep 1Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 28 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memperkenalkan Biasiswa Nasional tahun depan yang berdasarkan sepenuhnya kepada merit adalah selaras dengan konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Dalam mengalualukan langkah itu beliau berkata, skim biasiswa yang adil dan saksama bukan sahaja dapat membantu pelajar berkenaan untuk merealisasikan potensi mereka sepenuhnya, tapi juga membolehkan harapan dan impian 1Malaysia mampu dicapai.

"Jika mahu Malaysia berjaya, ia perlu bergantung kepada kumpulan pelajar terbaik yang akan menjadi pemimpin negara dan menjadi aset yang paling penting," kata beliau yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman oleh Najib semalam bahawa kerajaan akan mewujudkan biasiswa khas yang dinamakan Biasiswa Nasional di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun depan yang akan berdasarkan kepada merit sepenuhnya.

Najib berkata biasiswa akan diberikan kepada pelajar berkelayakan yang terbaik tanpa mengira kaum, selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan mengkaji semula pemberian biasiswa kerajaan.

Lee berkata pengenalan biasiswa itu akan dapat merealisasikan hasrat kearah melahirkan modal insan terbaik untuk 1Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan pendidikan juga adalah kunci kepada kejayaan dan kesejahteraan negara.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, yang menyambut baik langkah kerajaan, berkata biasiswa itu merupakan satu kesungguhan Najib untuk merealisasikan konsep 1Malaysia.

"Ini akan dihormati dan disokong seluruh rakyat Malaysia, dan membantu mengetepikan kekangan pemikiran dan prejudis terhadap dasardasar kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berharap kerajaan akan memperkenalkan satu skim biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan tetapi mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya kerajaan perlu memperkenalkan satu dasar bagi membantu setiap pelajar yang mempunyai masalah kewangan, mempunyai latar belakang menarik dan mencapai keputusan peperiksaan cemerlang.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (KPPK), Hashim Adnan setuju bahawa ia adalah satu pendekatan positif bagi menjayakan 1Malaysia.

Beliau berkata kerajaan harus memberikan penekanan lebih kepada masyarakat luar bandar yang menghadapi kekangan dalam mendapatkan pendidikan dan adalah tidak adil untuk mereka bersaing berpandukan merit sahaja.

Setiausaha Agung Gabungan PersatuanPersatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhammad Sha'ani Abdullah berkata pemberian biasiswa berdasarkan 100 peratus merit ini baik tetapi kerajaan perlu mengambil kira aspek luar bandar dan bandar serta kewangan sesebuah keluarga. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan