Abdullah mahu anggota, pemimpin BN pulihkan semangat

Diterbitkan: Ahad, 28 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEPALA BATAS: Bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta anggota dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) supaya membina semula keyakinan dan kekuatan parti itu jika tidak mahu ia hancur. Beliau berkata mereka seharusnya tidak hilang semangat dengan kehilangan banyak kerusi dan kekalahan BN di beberapa negeri pada pilihan raya umum ke12 sebaliknya bangkit semula untuk meneruskan perjuangan membina bangsa dan negara.

Katanya tidak mudah bagi BN untuk menyatukan semua kaum di bawah satu lambang dan seharusnya usaha itu tidak dibiarkan berkubur begitu sahaja.

"Kita perlu bina balik keyakinan itu kalau kita sayang kepada BN sebagai sebuah parti yang telah wujud di negara ini sejak sekian lama. Kita boleh rasa sedih dan kecewa tetapi jangan sampai hilang semangat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Pemuda dan Wanita MCA Bahagian Kepala Batas, di sini.

Beliau berkata parti yang hilang semangat akan hilang daya juangnya kerana tidak dapat berfikir dan menerima idea lagi dan akhirnya ia akan lemah dan tidak dapat bergerak.

Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, berkata BN masih merupakan parti yang mewakili semua kaum dan tidak ada alternatifnya walaupun terdapat percubaan daripada pakatan pembangkang untuk menirunya.

"Pakatan pembangkang baru sahaja ditubuhkan pada pilihan raya umum lalu dan hari ini dah mula retak dan bergaduh. Mereka nampak elok dan sepakat di luar sahaja tetapi dalam hati lain kerana permuafakatan mereka hanya bertujuan mengalahkan BN sahaja," katanya.

Oleh itu, katanya BN harus menggembeling kekuatan, perpaduan dan persefahaman yang terjalin sekian lama serta mengelakkan persengketaan untuk kembali gagah.

Beliau juga mengumpamakan BN seperti sebuah kedai atau syarikat yang perlu diurus dengan bijak dan berhemah agar tidak menutup operasinya.

"Saya tak mahu berlaku apaapa yang boleh menyebabkan BN tutup kedai dan sebagai pemegang saham, semua pihak perlu memainkan peranan dan tidak bergaduh. BN tidak boleh tutup kedai dan kena teruskan perjuangan yang lebih gigih dan mantap," katanya.

Selain merasmikan mesyuarat MCA itu, Abdullah juga merasmikan mesyuarat Umno Cawangan Bertam dan mempengerusikan mesyuarat Umno Bahagian Kepala Batas di sini. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan