Umno P.Pinang kumpul maklum balas pindaan perlembagaan parti

Diterbitkan: Jumaat, 26 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Umno Pulau Pinang memberi tempoh tiga minggu kepada semua 13 bahagian Umno di negeri ini untuk mengemukakan pandangan dan maklum balas mengenai cadangan pindaan perlembagaan parti itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata Umno negeri menjangkakan semua maklum balas berhubung pindaan itu akan diperoleh akhir bulan depan.

"Kita dah bagi taklimat kepada semua ketua bahagian mengenai isu ini dan selepas ini ketua bahagian akan panggil ketua cawangan dan ahli jawatankuasa bahagian masingmasing untuk mereka bincang dan perhalusi cadangan itu," katanya kepada pemberita di sini, malam semalam.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan oleh Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zainal Abidin berkata langkah itu bagi memastikan anggota parti di peringkat bahagian dan cawangan terlibat sama untuk memberi pandangan berhubung pindaan perlembagaan parti itu.

"Pindaan ini bukan hanya dibuat oleh sekumpulan tertentu sahaja kerana kita akan pergi sampai ke bawah di mana setiap bahagian akan bermesyuarat untuk memperhalusi, memberi cadangan dan pandangan kepada parti dan akhirnya pindaan itu akan diputuskan oleh perwakilan (pada Perhimpunan Agung Khas)," katanya.

Jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan itu kini sedang mendapatkan pandangan dan maklum balas anggota parti berhubung cadangan pindaan perlembagaan parti itu.

Selain itu, Zainal Abidin berkata Umno Pulau Pinang kini sedang berusaha mendekati dan membantu masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kita mahu memperkukuhkan Umno dan memberi khidmat kepada masyarakat termasuk kumpulan bukan Melayu," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan