'Tindakan Sultan Perak adalah betul untuk tidak bubar DUN Perak'

Diterbitkan: Jumaat, 26 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tindakan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah betul kerana dewan itu baru sahaja berumur setahun, kata Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Md Raus Sharif.

Dalam penghakiman 49 muka surat bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan hari ini, Hakim Raus berkata bagi membolehkan dewan itu dibubarkan mengikut Artikel 36 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak seperti yang dimohon oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dewan itu perlu menamatkan tempoh lima penggal apabila satu pilihan raya bakal diadakan.

"Faktanya sudah diketahui umum bahawa pilihan umum baru sahaja diadakan setahun lalu," katanya dalam penghakiman setebal 49 muak surat bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan hari ini.

Hakim Raus berkata peruntukan yang dipohon Nizar adalah tidak betul apabila memohon supaya dewan dibubarkan.

Dalam penghakimannya, Raus berkata Nizar telah memohon pembubaran itu mengikut Artikel 36, yang merupakan peruntukan biasa yang memberi kuasa kepada Sultan untuk memprorog atau membubarkan dewan selepas tempoh lima penggal berakhir.

Dalam penghakimannya hari ini, Raus berkata persoalan Perak mempunyai dua menteri besar tidak timbul dan ini kerana Artikel 16 (6) menuntut bahawa sebaik menteri besar itu tahu beliau tidak mendapat keyakinan di kalangan anggota dewan, beliau sepatutnya mengambil langkah yang terhormat dengan meletakkan jawatan.

"Jika menteri besar enggan atau tidak menyerahkan peletakan jawatannya dan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan, seperti dalam kes ini, ia tetap kekal bahawa Ahli Majlis Mesyuarat telah dibubarkan (yang termasuk menteri besar) bahawa majoriti angota dewan telah hilang keyakinan terhadap menteri besar itu." katanya.

Oleh itu, Raus berkata oleh itu Sultan tidak perlu untuk menyingkirkan Nizar dan lain-lain anggota majlis mesyuarat kerajaan.

Katanya pelantikan Dr Zambry dibuat mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan amalan demokrasi.

"Sultan Perak, dalam menjalankan kuasa prerogatifnya mengikut Artikel 16 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, adalah bebas untuk melantik menteri besar yang lain menggantikan Nizar," katanya.

Raus berkata Sultan, bagaimanapun, mesti melantik seseorang yang mendapat keyakinan majoriti anggota dewan negeri dan dalam kes ini, tidak syak lagi Dr Zambry mendapat sokongan majoriti daripada 31 daripada 59 anggota dewan.

"Keadaan dalam kes ini jelas menunjukkan bahawa pada 5 Februari, Nizar tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada anggota dewan negeri. Surat yang menyatakan sokongan 31 anggota dewan kepada Barisan Nasional telah diserahkan kepada Sultan Perak," katanya.

Dalam penghakimannya, Raus berkata Artikel 16 (6) tidak menunjukkan keperluan mandatori bahawa usul undi tidak percaya yang diluluskan oleh dewan terhadap seorang menteri besar sebelum ia gagal menguasai keyakinan daripada majoriti anggota dewan.

"Sebenarnya apabila seorang menteri besar gagal menguasai keyakinan daripada majoriti anggota dewan boleh ditentukan dengan cara lain. Ia tidak perlu semata-mata bagi undi yang dibuat di dalam dewan," katanya.

Sementara itu, Hakim Ahmad Maarop, yang bersidang dalam kes itu bersama Raus, dan Zainun berkata Nizar mesti meletak jawatan sebaik gagal mendapat keyakinan majoriti anggota dewan dan apabila Sultan enggan memenuhi permohonannya untuk membubarkan dewan.

"Keenganannya untuk meletak jawatannya dan anggota Majlis Mesyuarat kerajaan bukanlah satu pelanggaran konvensyen dan tidak demokratik tetapi lebih penting, ia melanggar arahan perlembagaan mandatori di bawah Artikel 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri dan oleh itu tidak berperlembagan.

"Oleh itu, oleh kerana ia tidak dapat menguasai keyakinan majoriti anggota dewan, ianya tersirat bahawa keenganannya untuk meletak jawatan, anggota majlis mesyuarat kerajaan adalah terbubar dan pejabat menteri besar dikosongkan.".

Ahmad berkata beliau juga berpandangan bahawa kuasa Sultan untuk membuang menteri adalah tersirat semasa menteri besar enggan meletak jawatan walaupun ia gagal mendapat keyakinan majoriti dan Sultan menggantung permintaannya untuk membubarkan dewan.

"Dalam penghakiman saya, keadaan yang dihadapi Baginda di Perak adalah satu-satunya keadaan dan baginda dalam keadaan kritikal telah melaksanakan kuasa perlembagaannya mengikut undang-undang tubuh negeri, yang telah dilaksanakan tanpa ragu-ragu, semata-mata untuk kepentingan rakyat negeri Perak," katanya.

Penghakiman Datuk Zainun Ali pula akan dikeluarkan pada Isnin.

Pada 22 Mei, Mahkamah Rayuan dengan tiga hakim yang bersidang diketuai Raus membenarkan rayuan yang dibawa oleh pesaing Nizar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan memutuskan bahawa Dr Zambry adalah menteri besar Perak yang sah.

Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar permintaan Nizar untuk membuat rayuan pada 9 dan 10 Julai.

Mohamad Nizar dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan pembangkang DAPPKRPAS memenangi 31 kerusi dalam pilihan raya umum ke-12.

Tidak sampai setahun, mereka kehilangan tiga anggota parti yang mengisytiharkan diri mereka sebagai anggota Bebas dan menyokong BN.

Sultan Azlan Shah kemudian meminta Nizar untuk meletak jawatan dan melantik Dr Zambry selepas mendapati bahawa BN mempunyai majoriti dalam dewan negeri.

Berikutan itu, Nizar memohon supaya mahkamah mengisytihar dirinya sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan untuk mendapatkan injunksi melarang Zambry daripada melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan