Idris Jusoh bersedia jika dipanggil oleh SPRM

Diterbitkan: Jumaat, 26 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh sedia memberi kerjasama jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat sini, awal bulan ini.

Idris yang baru pulang daripada mengikuti kursus jangka pendek di Amerika Syarikat malam tadi, berkata beliau akan memberi segala maklumat yang ada jika dikehendaki berbuat demikian.

"Kalau SPRM meminta saya membantu siasatan, saya bersedia," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Pendidikan Kolej Profesional Mara dan Kolej Mara di sini Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian bumbung stadium berkenaan yang menempatkan pintu A, B dan BI ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP) yang runtuh awal bulan ini.

Idris yang turut meminta SPRM menyiasat secara menyeluruh termasuk daripada aspek perancangan pembinaan bumbung sehingga proses selepas strukturnya itu siap, berkata sehingga kini beliau belum dipanggil SPRM.

"Siasatan ini perlu dilakukan kerana kita perlu tahu kenapa struktur itu runtuh," katanya.

Mengenai pelantikan tiga pemimpin baru dalam Badan Perhubungan Umno Terengganu, Idris berkata beliau menghormati keputusan yang dibuat Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata keputusan Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno itu, dibuat selepas melakukan pertimbangan yang sewajarnya.

Baru-baru ini, Hishammuddin mengumumkan pelantikan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha menggantikan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd Said pula dilantik sebagai Bendahari menggantikan Datuk Roslan Awang Chik dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri menggantikan Datuk Zuber Embong. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan